Wednesday 16 October 2013

Perkeso bayar elaun khas RM500 kepada penjaga

 Datuk Ismail Abdul Muttalib
Datuk Ismail Abdul Muttalib

MARAN - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) membayar elaun RM500 sebulan kepada mereka yang menjaga 'orang hilang upaya khas' menerusi Skim Bayaran Layanan Sentiasa (ELS) mulai tahun ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Ismail Abdul Muttalib berkata sehingga Ogos lepas 5,383 penjaga menerima manfaat itu dalam usaha kerajaan meringankan bebanan mereka.

"Elaun yang diberikan itu bagi meringankan bebanan yang terpaksa ditanggung penjaga semasa mengubati dan menjaga mereka yang hilang upaya itu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis korban anjuran Umno Bahagian Maran di Simpang Tajau, di sini hari ini.

Beliau meminta mereka yang menjaga pesakit hilang upaya kekal dan belum menerima bayaran supaya menghubungi Perkeso dengan mengemukakan dokumen lengkap berkenaan pesakit yang mereka jaga.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail berkata pihaknya menyasarkan 1.9 juta anggota Perkeso berumur 40 tahun ke atas menjalani pemeriksaan saringan kesihatan percuma di klinik panel Perkeso di seluruh negara sebelum akhir tahun ini.

"Sehingga ini 200,000 individu berumur 40 tahun ke atas menjalani saringan pemeriksaan kesihatan percuma itu bagi mengesan dan mencegah penyakit berjangkit pada peringkat awal, namun jumlah itu masih jauh daripada sasaran kita," katanya.

Ismail yang juga anggota Parlimen Maran berkata kerajaan memperuntukkan RM200 juta bagi program saringan kesihatan percuma itu.

- Bernama

No comments:

Post a Comment