Sunday 22 September 2013

Rumah keluarga 12 beranak rentung

Rumah keluarga 12 beranak rentung
Luqman Nulhakim Noh, 13, mengangkat basikal kesayangannya yang turut rentung setelah rumah yang didiami sekeluarga terbakar di perkampungan Sungai Isap hari ini. - Foto Bernama, Sept., 21


KUANTAN - Sebuah rumah yang didiami sekeluarga 12 beranak di Sungai Isap di sini musnah dalam kebakaran 3 petang ini.

Mangsa, Noh Awang, 48, berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada litar pintas itu berlaku ketika dia sedang tidur di ruang tamu rumahnya.

"Kebetulan isteri dan anak-anak tiada di rumah. Saya pula tertidur di ruang tamu, tiba-tiba terasa panas dan berlari keluar apabila ternampak api dari bilik," kata bapa 10 anak itu kepada pemberita di sini.

Noh, yang bekerja sebagai tukang besi dan tinggal di rumah itu sejak 40 tahun lepas, berkata mereka sekeluarga kini tinggal sehelai sepinggang kerana tidak sempat menyelamatkan barangan, dokumen penting dan pakaian.

Katanya kebakaran itu mengakibatkan dia menanggung kerugian lebih RM80,000 termasuk peralatan kimpalan besi di stor bersebelahan rumahnya.

Sementara itu, Ketua Operasi Kebakaran Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota, Mohd Najib Hashim berkata, pihaknya masih menyiasat punca sebenar kejadian.

"Sebaik terima aduan, tiga jentera dengan bantuan lebih 10 anggota terus bergegas ke tempat kejadian dan kebakaran berjaya dipadam 20 minit selepas itu," katanya. - Bernama


Sumber

No comments:

Post a Comment