Sunday 22 September 2013

30% penduduk luar bandar Johor takut ke klinik


Kira-kira 30 peratus penduduk dewasa di kawasan luar bandar negeri ini enggan menjalani saringan di klinik kesihatan dan hospital kerana takut mengetahui keadaan sebenar kesihatan mereka.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Khairi Yaacob berkata, mereka memberi alasan tidak mahu menjalani saringan itu kerana takut tidak lalu makan jika mengetahui mereka menghidap penyakit seperti diabetes dan tekanan darah tinggi.

"Mereka lebih rela tidak mengetahui keadaan sebenar kesihatan diri masing-masing kerana takut tidak lalu makan jika tahu mereka menghidap penyakit," katanya dalam teks ucapannya yang dibacakan timbalan beliau, Dr Fatimah Othman pada perasmian kempen kesedaran diabetes dan gaya hidup sihat peringkat Parlimen Segamat hari ini.

Majlis anjuran Klinik Kesihatan Buloh Kasap itu dirasmikan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam yang juga Anggota Parlimen Segamat dan dihadiri
lebih 300 penduduk dari kawasan sekitar.

Beliau berkata, dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, seramai 7,941 pesakit diabetes baharu dikesan dengan daerah Segamat mencatat 892 kes diabetes
baharu.

Bagi menangani masalah kesihatan di kalangan rakyat di negeri ini, beliau berkata, Jabatan Kesihatan memperkenalkan menu makanan seimbang untuk menjaga
kesihatan dan ia boleh diperoleh secara percuma di klinik kesihatan kerajaan di negeri ini. 

- Bernama

No comments:

Post a Comment