Monday 23 September 2013

92 penjenayah ditembak mati dari tahun 2011

Dewan Rakyat: 92 penjenayah ditembak mati dari tahun 2011

Seramai 92 orang penjenayah telah ditembak mati sejak tahun 2011 hinggalah pada Ogos lalu dan dari jumlah itu, 56 adalah warga tempatan.

Selain itu juga, antara warganegara penjenayah yang ditembak mati sepanjang tempoh itu selain warga tempatan termasuklah dari Indonesia, Myanmar, Nigeria dan lain-lain lagi.

Dalam sidang Dewan Rakyat hari ini, Ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him telah mempersoalkan mengenai jumlah individu yang telah ditembak mati oleh anggota polis ketika menjalankan penguatkuasaan dan penangkapan dan prosedur operasi standard (SOP) yang digunakan oleh pihak polis yang membolehkan mereka melepaskan tembakan.

Malah beliau, turut bertanyakan mengenai berapa banyakkah aduan kes pelanggaran SOP yang pernah disiasat dan diambil tindakan kemudiannya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi dalam kenyataan balasnya memberitahu, pihak polis tidak sewenang-wenangnya melepaskan tembakan dalam menjalankan tugas.

Pada tahun 2011, terdapat 22 kes dilaporkan dimana 30 orang penjenayah ditembak mati dan angka ini meningkat pada tahun berikutnya iaitu sebanyak 44 penjenayah dengan 23 kes jenayah dilaporkan.

Sehingga Ogos tahun ini pula, 18 individu penjenayah telah ditembak mati melibatkan 11 laporan kes jenayah dilaporkan.

“Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sentiasa mengingatkan semua anggotanya agar mengambil langkah-langkah keselamatan diri dan juga limitasi kuasa semasa menggunakan senjata api berdasarkan Perintah Tetap Ketua Polis Negara (IGSO) D222 dan juga Arahan Ketua Polis Negara (IG’s Order) N0 79,” kata Zahid.

Namun begitu, menurutnya lagi, kadangkala terdapat tindakbalas daripada penjenayah yang mana pertembungan ini membawa kepada kejadian tembak menembak atau anggota polis diserang dengan senjata yang berbahaya.

“Ini menyebabkan pihak polis terpaksa bertindak balas demi mempertahankan diri dan tindakan ini selaras dengan hak mempertahankan diri di bawah Seksyen 100 dan 103 Kanun Keseksaan,” beliau berkata.

Beliau menambah, sehingga kini dua naggota polis telah didakwa di mahkamah atas kecuaian melepaskan tembakan.

“Setiap kejadian tembak oleh anggota polis akan disiasat dengan rapi dan jika terdapat kecuaian atau salah laku anggota polis, PDRM tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas keatas mana-mana pegawai atau anggota tersebut termasuklah mendakwa mereka di mahkamah,” tegas beliau.

- ASTRO Awani 

No comments:

Post a Comment