Friday 2 August 2013

Pengamal media Ops Daulat terima Pingat Kedaulatan Negara


Pengamal media Ops Daulat terima Pingat Kedaulatan Negara

PUTRAJAYA:  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan Pingat Kedaulatan Negara (PKN) kepada 227 pengamal media yang membuat liputan insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu, Sabah.

Ia bagi menghargai pengorbanan pengamal media yang membuat liputan semasa Ops Daulat kerana mereka turut terdedah kepada risiko yang tinggi.

Majlis penganugerahan itu diadakan sempena majlis berbuka puasa anjuran Jabatan Penerangan dan Jabatan Perdana Menteri di kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana di sini.

Hadir sama Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Turut hadir ialah Ketua Pengarang Eksekutif Astro AWANI Suhaimi Sulaiman dan Editor Eksekutif Kamarol Bahrin Haron.

Manakala wartawan dan jurukamera Astro AWANI yang menerima pingat berkenaan ialah Wan Syamsul Amly Wan Seadey, Abdul Hakim Ab Rahman, Ahmad Amir Ariffin dan Hairul Wildan Haroun Al Rashid.

Najib dalam ucapannya berkata antara faktor penting dalam usaha memerangi ancaman adalah penyaluran maklumat yang tepat dan sahih oleh media.

"Kalau kita nak berjaya kalau kita nak menumpaskan sebarang bentuk ancaman termasuk ancaman dari luar kita jangan lupa bahawa satu daripada faktor yang amat penting adalah sokongan rakyat kepada usaha membanteras bentuk ancaman pada masa hadapan,” katanya.

Mengambil contoh Perang Vietnam, jelasnya walaupun Amerika Syarikat mempunyai teknologi baru tetapi tidak mendapat sokongan rakyat, mereka kalah dalam perang tersebut.

Jelasnya rakyat Malaysia perlu bersatu dalam menghadapi sebarang ancaman dalam dan luar negara.

Tambahnya laporan berita menerusi pelbagai saluran media mengenai insiden itu telah berjaya menyatupadukan dan membangkitkan semangat nasionalisme.-- Astro Awani 

No comments:

Post a Comment