Sunday 21 June 2015

Idris Jala tempelak Bloomberg berhubung artikel mengenai Malaysia

Idris Jala berkata, pembaharuan fiskal negara berjaya dilaksanakan seterusnya mengurangkan defisit fiskal Malaysia bagi tempoh lima tahun lepas, selain memastikan hutang awam hanya pada 53 peratus daripada KDNK.

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala menempelak Bloomberg berhubung artikel baru-baru ini oleh kolumnisnya, William Pesek.

Dalam surat terbuka kepada penyedia maklumat kewangan dan perniagaan itu, Idris berkata luahan terkini Pesek, "Malaysia Gets a Dose of Real Talk", konsisten dengan siri artikel yang mengkritik Malaysia dan kepimpinannya.

"Dalam komentari di Bloomberg View, beliau mula dengan merujuk kepada masalah ekonomi asas dan pertumbuhan perlahan yang berterusan, yang katanya disebabkan dasar-dasar berasaskan kaum yang menyekat inovasi, mengutamakan kroni dan menolak syarikat-syarikat multinasional.

"Hakikatnya, bagaimanapun, antara 2009 dan 2014, Pendapatan Negara Kasar Malaysia berkembang sebanyak 47.7 peratus. Pertumbuhan pada tahun lepas pada enam peratus, dan dalam tempoh empat tahun akan datang, Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi mengunjurkan Malaysia akan menikmati pertumbuhan tahunan 5.6 peratus," katanya

Idris berkata adalah tidak munasabah untuk menyifatkannya sebagai 'perlahan' dan sebaliknya, majalah The Economist melaporkan pada bulan lepas bahawa Suruhanjaya Eropah mengunjurkan pertumbuhan pada 2015 sebanyak 1.5 peratus, yang akan menjadi pencapaian terbaik zon Euro sejak 2011.

"Kadar pertumbuhan hampir empat kali ganda dan beberapa negara paling maju di dunia tidak menyatakan 'masalah'," katanya.

Beliau juga berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah melancarkan Program Transformasi Ekonomi pada 2010 dan menekankan beberapa pencapaian utama, termasuk hakikat bahawa dalam tempoh lima tahun lepas, pertumbuhan pelaburan tahunan 2.5 kali lebih daripada tahun-tahun sebelumnya. 

"Setiap tahun, jumlah pelaburan mencecah rekod baharu bagi Malaysia. Sebahagian besar pelaburan ini adalah daripada sektor swasta. Jika sektor swasta tidak mempunyai keyakinan pada Malaysia seperti didakwa oleh Pesek, mengapa mereka memasukkan rekod pelaburan tahun ke tahun di bawah pentadbiran Najib?" katanya.

Beliau juga berkata pembaharuan fiskal negara berjaya dilaksanakan, mengurangkan defisit fiskal Malaysia bagi tempoh lima tahun lepas, manakala memastikan hutang awam hanya pada 53 peratus daripada keluaran dalam negara kasar.

"Tahap hutang awam ini jauh lebih rendah berbanding di kebanyakan negara, seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, Jepun dan Singapura.

"Ketiga, seperti dinyatakan dalam Laporan Prospek Ekonomi Global Bank Dunia 2014, usaha Malaysia untuk mengurangkan kemiskinan telah mencatat kejayaan besar, hampir menghapuskan kemiskinan mutlak kepada kurang daripada satu peratus.

"Sejak 2009, kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah meningkat dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul sebanyak 12 peratus, lebih tinggi berbanding purata negara sebanyak lapan peratus. Inflasi dipastikan pada hanya 2.4 peratus dan melalui pelaksanaan undang-undang gaji minimum, kami telah mengeluarkan 2.9 juta orang daripada kemiskinan mutlak dengan segera. 

"Keempat, kami menyentuh kehidupan lima juta orang melalui jalan luar bandar, projek air dan elektrik. Ini merupakan kemungkinan perbelanjaan kerajaan yang terbesar dalam tempoh lima tahun dalam sejarah Malaysia. Semua ini dilakukan atas nama pembangunan ekonomi yang inklusif," katanya.

Idris yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), terus menyangkal apa yang disebut sebagai gambaran negatif yang dinyatakan oleh Pesek.

Mengenai turun naik ringgit, Idris mencadangkan kolumnis itu berbincang dengan Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, antara gabenor bank pusat yang paling dikagumi di dunia. 

Beliau berkata Zeti telah berulang kali menyatakan bahawa ringgit terkurang nilai dan apabila harga minyak turun, persepsi yang salah terhadap tahap pergantungan ekonomi Malaysia kepada sektor minyak dan gas, telah menyebabkan pasaran berpendapat Malaysia akan lebih terjejas berbanding yang lain.

"Sudah tentu ringgit terkurang nilai. Ia tidak mencerminkan nilai-nilai asas kami, yang teguh dan kukuh," Idris memetik Zeti sebagai berkata baru-baru ini.

Mengenai perkara lain yang dinyatakan Pesek iaitu Najib "meningkatkan pergantungan ekonomi ke atas pengeluaran minyak dan gas", beliau berkata Dana Kewangan Antarabangsa mempercayai sebaliknya.

"Tajuk bagi laporan 'Economic Health Check' pada Mac ini ialah, 'Favorable Prospects for Malaysia’s Diversified Economy'," katanya.

Menurut Idris, pendapat Pesek seolah-olah tidak mempunyai kaitan yang kukuh dengan fakta.

"Beliau memberikan agenda sebenar beliau apabila menulis wartawan yang berpangkalan di Asia merasai kehilangan Tun Dr Mahathir Mohamad sejak bekas perdana menteri itu melepaskan jawatan pada 2003 dan menyarankan kepimpinan politik lama segera dikembalikan.

"Ia mungkin nostalgia untuk masa lalu dan jarak beliau dari Malaysia telah mengaburi penilaiannya, dan menyebabkan beliau menulis selaran tidak berasas ke atas perdana menteri ketika ini dalam usaha mengambil hati Mahathir.

"Beliau kelihatannya seperti telah menukar fikiran mengenai bekas perdana menteri itu. Baru tahun lepas, beliau menulis bahawa sistem yang sempit dan dimanipulasi juri berkaitan dengan tindakan tegas, juara negara dan subsidi lumayan yang didukung Mahathir, yang menghalang kemajuan ekonomi," katanya.

Idris berkata Pesek kemudiannya membuat kesimpulan bahawa rakyat Malaysia perlu mencari inspirasi baharu dengan melihat ke hadapan, bukannya kembali kepada 1990.

"Kami bersetuju. Mengapa beliau kini berasakan kita perlu melihat kembali kepada sistem yang beliau gambarkan dengan cara merendahkan pada tahun lepas?" katanya.

Idris berkata Malaysia telah melalui transformasi ekonomi yang mengagumkan di bawah Najib dan negara berada pada landasan untuk mencapai matlamat status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Dalam nada tegas, Idris berkata jika Pesek tidak bersetuju dengan mana-mana di atas, beliau mungkin, perlu berbincang dengan editor-editor beliau.

"Bagaimanapun, laporan telah dikeluarkan, oleh tidak lain dan tidak bukan, Bloomberg," katanya.

- Sumber: Bernama 

No comments:

Post a Comment