Sunday, 21 June 2015

Simulasi: Dua maut bom meletup

Anggota dari Unit Hazmat Perak melakukan pemeriksaan berhampiran sebuah bas bagi memastikan tiada bahan kimia yang dikeluarkan akibat letupan tersebut.

Sebahagian daripada mangsa yang cedera diberikan rawatan selepas sebutir bom meletup di tapak parkir Stesen KTM, Kuala Kangsar, baru-baru ini.

BANDAR KUALA KANGSAR - Dua maut manakala 22 lagi cedera selepas sebutir bom meletup di tapak parkir Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Kuala Kangsar, baru-baru ini.

Kejadian kira-kira jam 10 pagi itu menyebabkan tapak parkir berkenaan menjadi huru-hara.

Namun sebelum bom itu meletup, Unit Pemusnah Bom dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak dan pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) dari Balai Bomba dan Penyelamat Perak terlebih dahulu berjaya memusnahkan sebiji bom yang turut berada di lokasi berhampiran.

Begitu pun, semua insiden itu bukanlah benar-benar terjadi kerana ia merupakan sebahagian daripada simulasi menghadapi bencana seperti ancaman bom yang dianjurkan Jawatankuasa Latihan Bencana Daerah Kuala Kangsar.

Pengerusinya, Dr Muhammad Najib Adnan berkata, ancaman bom dipilih memandangkan pengganas atau penjenayah sering menggunakan bom kimia, biologikal atau radiasi kepada orang awam.

Menurutnya, bom jenis itu bukan sahaja menyebabkan maut, malah mendatangkan kesan kecederaan yang maksimum kepada mangsa termasuk kepada petugas keselamatan.

“Senario latihan ini julung kali diadakan dan kali ini ia bertujuan memberi pendedahan kepada anggota keselamatan dan penyelamat terhadap prosedur tepat apabila berlaku perkara sebegini.

“Simulasi ini juga bertujuan menilai tahap kesediaan menghadapi bencana di peringkat daerah dengan penglibatan pelbagai agensi kerajaan. Ia juga bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran semua pihak terlibat.

“Malah, aktiviti ini juga dilihat merupakan antara medium terbaik untuk meningkatkan kerjasama antara agensi yang akan bekerjasama sekiranya berlaku bencana di kawasan ini,” katanya.

Katanya, simulasi pada kali ini disertai kira-kira 200 anggota dari pelbagai agensi termasuk dari Balai Polis Kuala Kangsar, Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang bertindak sebagai penasihat dan juga pasukan Hazmat Perak.

“Berdasarkan dari apa yang dilakukan, saya boleh merumuskan simulasi pada kali ini berjaya mencapai matlamatnya. Terima kasih kepada semua agensi terlibat,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment