SHAH ALAM – Setelah membiarkan Presiden Umno berjuang sendiri ‘menentang’ bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sejak kebelakangan ini muncul beberapa pimpinan Umno yang dilihat bangkit mempertahankan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Antaranya Speaker Dun Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak; Ahli Majlis Tertinggi Umno, Tan Sri Annuar Musa dan bekas Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Tan Sri Dr Rais Yatim.
Pemerhati politik, Prof Madya Dr Mohammad Fuad Othman berpendapat sikap berdiam diri pimpinan Umno itu selama ini dianggap sebagai ‘malu alah’ kepada Dr Mahathir yang pernah menjadi ketua mereka sebelum ini.
“Sebelum ini, para pemimpin Umno mungkin malu alah kepada Tun Mahathir dan beri peluang kepada Tun Mahathir dan Najib selesaikan masalah itu antara mereka berdua.
“Tapi apabila serangan bertubi-tubi tidak berhenti, mungkin dari situ mulalah seorang dua muncul mempertahankan bosnya. Mungkin sudah tiba masanya wakil-wakil kerajaan ini bangkit membela Najib,” katanya kepada Sinar Online.
Krisis antara Dr Mahathir dengan Najib masih berterusan sehingga hari ini, antaranya isu berkaitan kontroversi syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan wang berbilion ringgit.
Sementara itu, Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, pembelaan itu sebagai tanda pemimpin-pemimpin itu menunjukkan kesetiaan kepada Najib.
“Apa yang mereka lakukan itu untuk menunjukkan kesetiaan mereka kepada bos mereka. Sudah memang tanggungjawab mereka sebagai ahli parti untuk menyokong aspirasi dan dasar kerajaan. Memang wajar dilakukan oleh mereka,” katanya.
Meskipun begitu katanya, pemimpin Umno kini dalam dilema apabila pertembungan itu berlaku antara bekas ketua dan ketua mereka sekarang.
“Tapi inilah dilema pemimpin Umno sekarang apabila berlaku pertembungan antara bekas bos dengan bos sekarang. Mereka pasti berbelah bahagi kerana mereka hormat pada Tun Mahathir dan Najib.
“Bekas-bekas pemimpin yang rapat dengan Tun sudah tentu mempertahankan Tun kerana mereka lebih kenal Tun daripada Najib. Pemimpin yang ada sekarang ini masih berkhidmat sudah tentu akan pertahankan pimpinan yang ada sekarang. Ini normal,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berpendapat isu antara dua pemimpin itu perlu diselesaikan segera demi kepentingan rakyat.
“Isu antara Tun dengan Najib perlu diselesaikan segera. Kerana apa yang penting sekarang adalah berkhidmat kepada rakyat.
“Ahli politik pun tak boleh pentingkan diri sendiri. Jika persepsi rakyat buruk, ia tidak elok untuk imej kerajaan serta boleh menjejaskan sokongan,” katanya.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment