Sunday 21 June 2015

Kerajaan gabungan alternatif jika Pas tarik diri

Azmin Ali

SHAH ALAM - Saranan DAP Selangor mengenai pembentukan kerajaan gabungan di negeri itu adalah alternatif sekiranya Pas bertindak menarik diri daripada memberi sokongan kepada kepimpinan Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali.

Pensyarah Kanan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Zaheruddin Othman berkata, syor DAP itu sebagai satu langkah ke hadapan persediaan bagi memastikan kerajaan Selangor tidak tumbang.

“Cadangan ini dikemukakan bertujuan mengekalkan kuasa mereka (DAP dan PKR) dalam kerajaan negeri.

“Seboleh mungkin DAP dan PKR cuba mempertahankan dan kekal memerintah di Selangor selama yang mungkin hingga PRU14,” katanya.

Zaheruddin berkata, beliau yakin sekiranya Mohamed Azmin menerima cadangan DAP itu, mustahil untuk Adun Pas melepaskan jawatan sebaliknya akan terus berjuang mengekalkan kedudukan mereka.

Katanya, kerjasama PR yang dibentuk sebelum ini bertujuan memancing undi dan meyakinkan rakyat, namun dalam hal menubuhkan kerajaan negeri adalah sesuatu berbeza.

“Tunggulah menjelang PRU14 nanti PR akan muncul semula. Sewajarnya lepas pilihan raya mereka perlu mesyuarat semula untuk bentuk kerajaan negeri,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malik berkata, semua parti bekas PR wajar meletakkan kepentingan rakyat dan juga agenda reformasi di dalam pentadbiran dan tatakelola negeri menjangkaui permainan politiking yang tiada kesudahannya.

“Kerajaan gabungan atau campuran di Selangor adalah wajar demi kelangsungan pentadbiran yang lebih baik dalam tempoh dua tahun berbaki dan sebagai manifestasi kepada perlaksanaan tanggungjawab di atas mandat yang telah diberikan oleh rakyat.

“Dengan kewujudan kerajaan campuran baru ini juga diharapkan agar pihak wakil rakyat Umno juga dapat mempertimbangkan untuk menyertainya demi kepentingan rakyat di kawasan mereka,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment