Sunday 1 February 2015

Polis selesai kes culik kanak-kanak di Klang, enam lelaki ditahan

SHAH ALAM: Polis menyelesaikan kes penculikan seorang kanak-kanak lelaki berumur lima tahun di Klang pada 22 Jan lepas, dengan tertangkapnya enam lelaki dalam dua serbuan, awal pagi Sabtu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata polis menemui kanak-kanak warga tempatan itu dalam serbuan pertama di sebuah apartmen di Port Dickson, Negeri Sembilan pada 12.05 pagi.

Beliau berkata polis menahan lima lelaki yang berada di rumah berkenaan, dipercayai suspek yang terlibat dalam kes penculikan mangsa.

"Kanak-kanak tersebut berada dalam keadaan khayal dan disyaki diberikan dadah supaya mudah dikawal. Mangsa kini dirawat di Unit Rawatan Rapi, Bahagian Pediatrik, Hospital Tuanku Jaafar Seremban dan keadaannya setakat ini stabil malah telah sedar daripada pengaruh dadah.

"Ketika dijumpai, tiada sebarang kesan kecederaan pada badan kanak-kanak itu dan mangsa juga tidak diikat cuma berada dalam keadaan khayal namun jenis dadah yang diberi padanya masih dalam siasatan," katanya kepada pemberita di Shah Alam, Sabtu.

Mohd Adnan berkata susulan tangkapan pertama itu, polis menahan seorang lagi lelaki dipercayai saki baki anggota kumpulan penculik terbabit dalam serbuan kedua di sebuah rumah di Taman Subang Permai, Subang Jaya kira-kira 2.15 pagi.

Beliau berkata siasatan awal polis mendapati suspek ada menghubungi keluarga mangsa yang terlibat dalam bidang perniagaan untuk meminta wang tebusan hampir RM850,000, malah mengugut untuk mencederakan kanak-kanak itu jika wang tersebut gagal diserahkan.

"Pada Rabu lepas, keluarga mangsa ada terima satu SMS (sistem pesanan ringkas) melalui telefon bimbit ibu mangsa yang dicuri ketika penculikan itu dan meminta keluarga berkenaan menyerahkan wang tebusan dalam mata wang US$100,000, AU$100,000 dan RM200,000.

"Namun, wang tebusan itu tidak sempat diserahkan kepada suspek dan polis percaya penculikan berkenaan tidak terlibat dengan isu lain tapi semata-mata mahukan wang kerana ada sebahagian daripada mereka mengenali mangsa dan keluarganya," kata beliau.

Menurut Mohd Adnan, kesemua suspek warga tempatan sedang disoal siasat bagi mengenal pasti dalang utama kes penculikan berkenaan.

Kesemua suspek direman sehingga Jumaat depan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961.

Kanak-kanak itu diculik dua lelaki yang memecah masuk rumahnya di Taman Maznah, Klang dalam kejadian 2.10 pagi pada 22 Jan lepas, ketika mangsa sedang tidur bersama ibu dan adiknya.

Kejadian tersebut disedari jiran mereka yang segera menghubungi polis.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam status twitternya mengucapkan syabas kepada Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc) dan JSJ Selangor atas kejayaan menyelamatkan kanak-kanak tersebut.

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment