Sunday 1 February 2015

Jimmy Shanley: Saya semakin bahagia

Jimmy Shanley dan isterinya, Mariam Jamilah 

KEMELUT antara Jimmy Shanley dan bekas isterinya Nursuhaila Eliani Suhaimy, nampaknya tidak pernah berakhir meskipun masing-masing sudah membawa haluan sendiri. 

Terbaharu keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, yang mengenakan hukuman penjara tujuh hari terhadap Nursuhaila atas kesalahan mengingkari perintah mahkamah berhubung hak lawatan dan bermalam anak pasangan itu, kembali mengejutkan masyarakat.

Tampil membela diri, Nursuhaila mendakwa Jimmy tidak pernah mengambil tahu mengenai anak mereka, Zahrah Rania, 5, termasuk gagal memberikan nafkah.

Bagaimanapun, Jimmy yang ditemui selepas pelancaran Astro Go Shop, Jumaat lalu, lebih selesa mengambil langkah berdiam diri dari membalas kenyataan itu. 

“Buat masa ini, saya tidak mahu bercakap apa-apa pasal ini. Nantilah, saya akan buat satu sidang media khas bagi menjelaskan semua persoalan.

Jimmy dan Nursuhaila Eliani bernikah pada 1 Oktober 2010 dan berpisah pada 10 Oktober 2012.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan yang diberi hak penjagaannya kepada bekas isterinya itu.

Beralih mengenai kehidupannya kini, pengacara berusia 35 tahun itu mengakui dia semakin bahagia dengan perkahwinan keduanya, Mariam Jamilah Abdul Jalil, pada 7 Jun lalu.

“Alhamdulillah, kehidupan sekarang sangat bahagia. Kehidupan saya kini lebih teratur, apatah lagi isteri adalah penyokong kuat saya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Jimmy kini semakin sibuk sebagai pengacara di Astro Go Shop selain bertugas sebagai penyampai radio di Ultra FM.

“Alhamdulillah, semua ini rezeki lebih-lebih dengan kerjasama dari Astro dan Ultra FM, saya mampu buat terbaik untuk semua ini.

“Sebagai pengacara Astro Go Shop, saya cuba menyampaikannya dengan fakta yang tepat selain menyelitkan elemen hiburan agar penonton berasa seronok untuk menontonnya,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment