Sunday 1 February 2015

'Orang lain susah, kami mahu bantu', kata kaum Rohingya di Kedah



Hasil kutipan dalam tempoh dua minggu, RSM berjaya membeli barangan bernilai lebih RM10,000 untuk dihantar ke Kelantan. 

ALOR SETAR: Masyarakat Rohingya di Kedah menyumbang bantuan kemanusiaan bernilai lebih RM10,000 kepada mangsa banjir di Kelantan.

Pengerusi Rohingya Society In Malaysia (RSM) Cawangan Kedah, Mohd Noor Abu Bakar berkata bantuan itu termasuk beras, bantal, tuala, selimut dan keperluan lain hasil kutipan wang daripada 50 anggota masyarakat Rohingya di sekitar negeri ini.

Hari ini, 10 anggota RSM Kedah akan membawa pelbagai barangan bantuan itu menggunakan sebuah lori dan van ke Kampung Manjur, Kuala Krai untuk diserahkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di sana, katanya kepada pemberita di Pejabat RSM Cawangan Kedah di sini hari ini

"Kita sudah biasa hidup susah jadi bila orang lain dalam kesusahan kita ingin bantu mereka jadi semua komuniti Rohingya di Kedah telah dikumpulkan untuk berbincang bagaimana hendak membantu mangsa banjir di Kelantan dan telah sepakat untuk membuat kutipan wang sebelum membeli barangan yang hendak disumbangkan kepada mereka.

"Ini merupakan kali pertama kita membuat program seperti ini dan hasil kutipan dalam tempoh dua minggu kita berjaya membeli barangan bernilai lebih RM10,000 untuk dihantar ke Kelantan. Berapa yang mampu kami bantu, kami akan bantu kerana kami juga pernah menerima bantuan daripada rakyat Malaysia," katanya. 

- Sumber: Bernama 

No comments:

Post a Comment