Saturday, 22 August 2015

Konspirasi jatuhkan kerajaan: 'Ini betul-betul, bukan cubaan' - Ahmad Zahid



AHMAD ZAHID: Saya perolehi dengan tepat dan tidak menambah atau berkurang faktanya. Konspirasi untuk menjatuhkan kerajaan ini akan berlaku jika tidak disekat.

SEGAMAT: "Ini betul-betul, bukan cubaan," kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan konspirasi untuk menjatuhkan kerajaan melalui "pintu belakang" bukan sandiwara ciptaannya.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO sebaliknya berkata pendedahannya itu adalah sesuatu yang sahih melalui sumber dan risikan agensi bertanggungjawab.

"Saya perolehi dengan tepat dan tidak menambah atau berkurang faktanya. Konspirasi untuk menjatuhkan kerajaan ini akan berlaku jika tidak disekat.

"Ini betul-betul. Bukan cubaan," katanya seolah-olah mengulangi ungkapan guru silat Wak Mustarjo dalam filem "Pendekar Bujang Lapuk".

"Kita kena sekat daripada awal dan tidak rela dijatuhkan pembangkang dengan cara ini," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sekijang di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Sekijang Datuk Dr Baharum Mohamed, Timbalan Ketua UMNO bahagian itu Alus Kassim, dan Anggota Dewan Undangan Negeri Kemelah Datuk Ayub Rahmat.

Ahmad Zahid berkata, setiap laporan risikan itu akan diperiksa pula secara berulang kali sebelum faktanya disahkan.

"Kemudian laporan itu (risikan mengenai konspirasi) barulah diserahkan kepada saya.

"Menerusi risikan itu mendapati pihak pembangkang mahu menubuhkan 'unity government' atau kerajaan bersatu yang membabitkan 88 anggota Parlimen pembangkang dan mahu menarik 40 anggota Parlimen daripada Barisan Nasional (BN)," katanya.

Ahmad Zahid berkata ada pihak yang menuduhnya sebagai sandiwara apabila mendedahkan dalang utama pemimpin yang berusaha untuk mendapatkan akuan bersumpah anggota Parlimen itu tidak hadir untuk bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Saya tahu mengenai perkara itu dalam satu mesyuarat. Dia (pemimpin berkenaan) tidak datang kerana tidak mahu gambarnya disiarkan (didedahkan identiti)," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata kumpulan itu mahu menyerahkan akuan bersumpah itu kepada Speaker sebelum Persidangan Dewan Rakyat pada Oktober ini bagi diadakan usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri.

"Mengikut risikan itu mereka mahu menggunakan Plan B pula iaitu mahu menyerahkan akuan bersumpah itu pula kepada Yang di-Pertuan Agong untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau bagaimanapun yakin seramai 134 anggota Parlimen BN tidak akan terpengaruh dengan pujuk rayu pihak berkenaan bagi mendapatkan sokongan bagi jalan belakang itu.

Sehubungan itu Ahmad Zahid berkata beliau tidak pernah merasa serba salah ketika membuat pendedahan itu dan sedia melakukan apa sahaja bagi mempertahankan kerajaan yang dipilih secara sah pada pilihan raya umum lalu.

"Saya sedia pertahankan kerajaan yang ada dan tidak mahu berlaku rampasan kuasa politik yang tidak memberikan apa-apa keuntungan seperti yang pernah berlaku di Perak walaupun PAS yang memerintah tetapi kuasa pemerintahannya adalah DAP," katanya.

Sementara itu beliau juga mahu rakyat memahami hal sebenar mengenai isu dana politik RM2.6 bilion yang datang dari penderma dari Timur Tengah.

"Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah menyemak perkara itu daripada penderma berkenaan dan telah sahkan ia adalah dana politik dan bukan menggunakan sumber wang amanah dan sebagainya," katanya.

Pada sebelah pagi ketika merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Sri Gading, Batu Pahat, Ahmad Zahid berkata sikap Malaysia yang komited dalam mengekang keganasan, berpegang teguh kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah serta negara Islam sederhana dengan kewujudan masyarakat majmuk adalah tiga sebab penderma dari Timur Tengah menyumbang dana politik RM2.6 bilion kepada Malaysia.

Beliau juga mahu pemimpin UMNO agar sentiasa turun padang untuk menjelaskan kedudukan sebenar pelbagai isu kepada akar umbi agar mereka tidak terpesong dengan dakyah pembangkang yang disebarkan melalui media sosial. 

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment