Babak dalam drama Jodoh Sebelah Pintu.
SUDAH pun bersiaran sebanyak lapan episod di saluran 116 HyppSensasi bermula 29 Julai lalu, drama Jodoh Sebelah Pintu memberikan keunikan dan kelainan tersendiri.
Dibarisi pelakon hebat seperti Emma Maembong, Kamal Adli, Erwin Dawson dan Lia Natalia, drama yang mendapat sentuhan pengarah Michael Ang ini diadaptasi berdasarkan cerita yang diambil dari sebuah novel berjudul sama.
Pengarah Urusan Darkwave Pictures Sdn Bhd yang juga penerbit drama ini, Datuk Rafiena Ezanee Ramli berkata, meski pun baru ditayangkan di HyppSensasi, drama ini berjaya mendapat rating penonton yang tertinggi di saluran itu.
“Saya dimaklumkan Jodoh Sebelah Pintu antara drama Melayu yang mendapat sambutan paling tinggi sepanjang ditayangkan di Hypptv. Ia satu pencapaian yang memberangsangkan.
“Terima kasih kepada pihak Hypptv khususnya Hyppsensasi dan wakilnya, Puan Wan Rozita Aladad Khan, Cik Emily Wee dan Encik Jeremy Kung serta Puan Haslinda dan seluruh warganya kerana memberi peluang pada Darkwave Picture,” katanya.
Drama komedi romantis ini mengisahkan seorang gadis yang bernama Mona Airawani yang akan dijodohkan bersama seorang lelaki misteri digelar sebagai Alang. Lebih tak keruan, apabila bakal tunangnya hanya berada di sebelah pintu. Namun
semuanya berubah dengan kehadiran orang ketiga. Siapa sebenarnya tunangan Mona?
Pelakon hilang suara
Membabitkan kos berjumlah RM1 juta, drama ini menjalani penggambaran sekitar Lembang Klang dan melalui cabaran tersendiri.
Tambah Rafiena, banyak babak pergaduhan memerlukan Emma menjerit dan beraksi lincah.
“Banyak cabaran dalam merealisasikan drama ini antaranya pelakon utama Emma hilang suara kerana banyak menjerit. Lagi pun penggambaran dibuat pada bulan puasa sampai pelakon menghadapi masalah kesihatan.
“Pelakon yang terlibat dalam drama ini juga adalah nama besar industri jadi kerap berlaku pertindihan jadual. Namun, semua itu dapat diatasi dengan komitmen yang bagus daripada semua pihak,” sambungnya.
Selaku penerbit, Rafiena berpuas hati terhadap mutu lakonan semua pelakon yang terlibat terutamanya pelakon cilik Qistina Raisya yang berjaya membawakan watak dengan baik.
“Gandingan Emma dan Kamal memang satu pilihan tepat. Mereka berdua sangat menjiwai watak dan kerjasama yang baik bersama produksi sebelum ini banyak membantu hubungan pelakon dan produksi.
“Sebenarnya apabila saya baca novel yang menjadi asas kepada drama ini, ia mengingatkan saya dengan cerita P Ramlee berjudul Masam-Masam Manis tapi Jodoh Sebelah Pintu adalah versi urban.
“Soal penerimaan penonton saya serahkan kepada penilaian umum. Bagi saya, jika produk kita bagus, ia sendiri yang akan berbicara,” katanya.
Skrip drama dari novel tulisan Dekna Lee ini digarap Loh Chung Tat dan bersiaran setiap Rabu dan Khamis, jam 9 malam.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment