Sunday 2 August 2015

Bayi ditemui lemas dalam baldi

Gambar hiasan

GEORGETOWN - Bayi lelaki berusia satu tahun tujuh bulan ditemui lemas dalam baldi di rumahnya di flat Jalan Sungai Dua, Gelugor di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, bayi berkenaan, Jefril Mohd Amnan Mohd Jaki dikatakan dibawa oleh ibunya ke bilik mandi selepas membuang air besar.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid berkata, ibu mangsa keluar seketika untuk mengambil kain tuala dan meninggalkan bayi berkenaan bersama anak perempuannya yang berusia lima tahun di dalam bilik mandi.

Bagaimanapun menurutnya, selepas ibunya kembali ke bilik mandi mendapati anaknya sudah terlingkup di dalam baldi dan sudah tidak bergerak.

"Ibu mangsa melihat muka anaknya itu berada di dalam baldi dan kaki diluar.

"Dia terus mengangkat anaknya itu dan mendapati muka anak lelakinya itu telah bertukar biru," katanya ketika dihubungi di sini.

Mior Farid berkata,ibu mangsa terus menjerit dan memanggil suami yang sedang tidur di bilik sebelum terus membawa anak mereka ke Hospital Pulau Pinang.

Menurutnya, anak mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke HPP.

"Bedah siasat telah dilakukan terhadap mangsa dan doktor mengesahkan mangsa meninggal dunia disebabkan lemas.

"Polis juga telah mengambil keterangan daripada ibu bapa bayi berkenaan dan kes akan disiasat dibawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001," katanya.

Difahamkan, mayat bayi berkenaan telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Sungai Nibong di sini malam ini.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment