Friday, 10 July 2015

Tumpang belajar bawah lampu restoran

Salinan paparan perkongsian oleh Joyce Torrefranca mengenai Daniel Cabrera di laman Facebook

"JIKA ianya penting untuk anda, anda akan cari jalan. Jika ia tidak penting, anda akan cari alasan," tertera sebuah kapsyen di atas foto viral yang menunjukkan seorang kanak-kanak yang dijumpai sedang ulang kaji di bawah limpahan lampu baru-baru ini. 

Joyce Torrefranca, seorang pelajar dari Cebu Doctors University menjumpai Daniel Cabrera, 9, sedang belajar di tepi restoran makanan segera McDonald pada 23 Jun lepas.

Foto tersebut yang pantas viral dan dikongsi lebih 6,000 pelayar di Facebook kemudian menarik perhatian media.

"Sebagai seorang pelajar, ia memberi inspirasi kepada saya untuk belajar lebih bersungguh-sungguh," kata Torrefranca kepada Rappler.

Menurut Iris Prak, pengurus restoran McDonald tersebut memberitahu bahawa Cabrera, ibunya dan adiknya Gabriel, 7 sering berada di lokasi berkenaan untuk meminta sedekah.

"Selalunya mereka meminta air, jadi kami berikan mereka air," kata Prak yang juga membenarkan Cabrera untuk 'tinggal' di lokasi berkenaan.

Menurut beliau, adik-beradik tersebut sering belajar di bawah lampu restoran berkenaan kerana rumah mereka musnah dalam kebakaran.

"Daniel mahukan permainan. Saya beritahu dia, jika beliau mendapat markah tinggi, kami akan berikan dia dan adiknya permainan," jelas Prak.

Salah seorang guru Cabrera menyifatkan kanak-kanak berkenaan sebagai 'anak yang gembira'.

"Beliau juga pintar dan selalu menjawab soalan semasa perbincangan," kata Rosalina Detuya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment