KUALA LUMPUR - Akaun bank isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor disahkan sedang disiasat oleh pasukan petugas khas siasatan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Perkara itu dimaklumkan melalui satu kenyataan bersama, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zetti Akhtar Aziz; Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Abu Kassim Mohamed, hari ini.
"Selanjutnya berkaitan dengan pendedahan media mengenai akaun isteri perdana menteri, perkara itu sememangnya sudah diketahui oleh Pasukan Petugas Khas sebelum pendedahan itu dan siasatan mengenainya sedang dikendalikan," katanya.
Menurut kenyataan itu, segala pendedahan berkaitan 1MDB dalam media dipandang serius oleh pasukan petugas khas.
"Berhubung pendedahan dalam media yang dikaitkan dengan isu1MDB, semua pendedahan itu dipandang serius oleh Pasukan Petugas Khas dan siasatan akan dibuat serta kenyataan diambil daripada semua orang yang berkenaan.
"Pasukan Petugas Khas juga ingin menegaskan bahawa siasatan berhubung isu 1MDB dijalankan dengan telus, bebas dan profesional," katanya.
Dalam pada itu, pihak pasukan petugas khas meminta agar semua pihak tidak mempersoalkan kewibawaan mereka.
"Sehubungan itu, Pasukan Petugas Khas berharap semua pihak tidak mempersoalkan kewibawaan Bank Negara, polis dan SPRM dalam mengendalikan tugas dan fungsi dalam siasatan ini," katanya.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment