SHAH ALAM - Langkah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan kerajaan Malaysia menyekat portal berita Sarawak Report adalah satu kesilapan besar dan bakal memakan diri.
Demikian kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sambil menyifatkan tindakan itu hanya menyemarakkan keinginan rakyat dan masyarakat antarabangsa untuk membaca pelbagai pendedahan dalam laman tersebut.
“Tindakan ini akan menyebabkan rakyat memberikan kepercayaan lebih kepada Sarawak Report berbanding kerajaan Malaysia.
“Sepatutnya, pihak yang merasakan Sarawak Report sedang menyebarkan fitnah perlu menfailkan saman fitnah terhadapnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
SKMM telah menyekat sementara waktu akses ke laman web pemberi maklumat yang berpangkalan di London itu setelah menerima maklumat dan aduan daripada orang ramai.
Dalam satu kenyataan, badan itu menerima aduan bahawa laman web itu memaparkan kandungan yang masih tidak dapat dipastikan kesahihannya dan sedang dalam siasatan.
Sebelum ini, Sarawak Report didakwa menyiarkan dokumen-dokumen yang diubahsuai dan diperolehi daripada bekas pengarah PetroSaudi International Ltd (PSI), Xavier Andre Justo.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim juga berkata, dakwaan mengatakan laman web itu mengganggu kestabilan negara itu tidak berasas.
“Yang mengganggu “kestabilan negara” hari ini ialah masalah 1MDB dan cara 1MDB melangsaikan hutangnya.
“Untuk menjamin kestabilan negara, sepatutnya Pasukan Petugas Khas yang sedang menyiasat 1MDB harus mengemukakan tarikh untuk menyiapkan siasatan secepat mungkin, malah menjamin bahawa hasil siasatan akan dibentang secara awam,” ujarnya.
Sehubungan itu, katanya lagi, jika Datuk Seri Najib Tun Razak masih gagal menyaman Wall Street Journal dalam tempoh 14 hari bermula 8 Julai 2015 lalu, Perdana Menteri itu wajar bercuti dalam kadar segera.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment