Bazar Ramadan Shah Alam merupakan bazar keempat yang dikunjungi oleh Dr Mahathir tahun ini, selepas bazar di Kampung Baru, Putrajaya dan Keramat.
SHAH ALAM - Teruja! Itulah perkataan yang sesuai untuk menggambarkan perasaan orang ramai tatkala berkesempatan bertentang mata dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Itulah yang terjadi di Bazar Ramadan Shah Alam pada Ramadan lalu, apabila orang ramai seolah-olah terpaku melihat kehadiran Dr Mahathir yang 'turut serta' bersama mereka membeli juadah berbuka puasa.
Apa yang paling menarik Sinar Online adalah reaksi seorang gadis berbangsa Cina yang kelihatan begitu 'bersungguh-sungguh' memahat memorinya bersama bekas pemimpin itu.
"Tun hendak bergambar boleh?" sambil dijawab 'senyuman' oleh Dr Mahathir.
Bukan setakat itu sahaja, gadis itu turut memanggil kawan-kawannya yang lain untuk turut serta berselfie.
Momen itu tidak berakhir di situ, gadis itu rupa-rupanya 'mengekori' Dr Mahathir sampai ke keretanya walaupun dia dilihat sudah puas bergambar.
"Mahu bergambar di kereta pula, mai-mai kawan-kawan kita bergambar lagi," katanya.
Sementara itu, perniagaan di bazar itu seolah-olah 'terhenti seketika' apabila para peniaga juga sanggup meninggalkan gerai masing-masing untuk merebut peluang untuk bergambar bersama Dr Mahathir.
"Tun datanglah ke gerai saya di hujung sana, ada makanan istimewa untuk Tun. Tolonglah Tun datang gerai saya," tutur seorang peniaga makanan berlauk kepada Dr Mahathir yang sanggup berlari kira-kira 100 meter dari gerainya semata-mata untuk menyambut kedatangan tokoh negarawan itu ke gerainya.
Lebih menarik lagi, terdapat seorang peniaga kuih-muih yang secara berseloroh sanggup memberikan gerainya kepada Dr Mahathir kerana berhenti membeli kuih di gerainya.
"Ya ALLAH Tun Mahathir ke, terima kasih Tun kerana sudi datang ke gerai saya. Kalau Tun hendak ambil gerai saya Tun ambillah, saya sanggup 'bina' gerai baru," selorohnya sambil disambut senyuman manis oleh Dr Mahathir.
Dr Mahathir sempat meluangkan masa di bazar berkenaan selama setengah jam.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment