Siapa sangka pondok buruk separuh kekal dan usang ini didiami tiga beranak menumpang teduh daripada panas dan hujan.
JASIN: Siapa sangka pondok buruk separuh kekal dan usang ini didiami tiga beranak menumpang teduh daripada panas dan hujan.
Jika dilihat, ruang kecil pondok ini tidak sesuai untuk didiami keluarga ini.
Namun, bagi Muhammad Salleh Hasan, 64, dan dua anaknya Nur Amirah, 13, dan Nur Arina, 9, di sinilah mereka menginap sejak tiga tahun lalu.
Ruang tamu yang sempit dijadikan tempat tidur beralaskan tilam lama untuk mereka bertiga.
Harapan Muhammad Salleh hanyalah untuk memberikan kehidupan yang terbaik buat anak-anaknya. Namun, apakan daya si ayah yang semakin dimamah usia dan berbekalkan kudrat yang tidak seberapa.
Dengan pendapatan sekitar RM200 sebulan hasil jualan sate pada hujung minggu tidak memadai buat ayah kepada dua anak ini untuk menyara kehidupan mereka.
Biarpun menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Agama Islam Melaka berjumlah RM400 sebulan, namun jumlah itu tidak mencukupi apatah lagi setelah ditolak perbelanjaan lain antaranya membayar sewa kediaman sebanyak RM80 sebulan.
Sepanjang Ramadan lalu, hanya nasi putih kosong menjadi hidangan ‘istimewa’ mereka berbuka puasa; malah ada kalanya mereka terpaksa mengikat perut kerana langsung tidak mampu membeli makanan untuk berbuka.
Bagi anak sulungnya Nur Amirah, dia bersama ayah dan adiknya perlu meneruskan hidup biarpun setelah pemergian ibu tersayang lapan tahun lalu.
Katanya, keadaan ayah yang sudah tua menyebabkan beliau sering sakit dan kini kian jarang dapat keluar berniaga.
Pendapatan ayahnya yang tidak menentu menyebabkan dia bersama adiknya Nur Arina tidak dapat menyediakan keperluan pemelajaran dan pernah dimarahi guru kerana tidak mampu membeli buku dan peralatan sekolah.
Bagaimanapun, bagaikan ada sinar baharu bagi tiga beranak ini apabila penderitaan mereka sejak sekian lama mendapat perhatian Putra Specialist Hospital (PSH) dan Pasaraya Besar Tesco.
Pondok yang dahulunya usang dicat semula selain segala peralatan di kediaman itu ditukar ganti demi memastikan keselesaan mereka sekeluarga.
Ketua Pegawai Eksekutif PSH, Datuk Radhuana Salleh berkata kemiskinan yang dialami keluarga ini seharusnya menjadi iktibar selain usaha untuk membantu mereka agar dapat menempuh kehidupan yang lebih baik.
Menurutnya, tempat kediaman keluarga ini begitu daif dan berpandangan bahawa di dalam era pembangunan semasa, tidak sepatutnya ada insan di negara ini yang masih lagi tinggal di tempat sebegini rupa.
“(Kediaman ini) kita boleh definisikan sebagai bukan sebuah rumah. Namun, Alhamdulillah, dengan sedikit sumbangan ini dapatlah kita ubah pondok buruk ini menjadi sebuah rumah sesuai untuk menyambut Hari Raya,” kata Radhuana.
Sementara itu, Pengurus Penyewaan Tesco Peringgit, Nur Mahirah Musa berkata bantuan yang dihulurkan ini adalah julung kali diadakan secara bersama dengan pihak lain bagi memastikan keselesaan keluarga ini.
“Ini julung kali diadakan. Kerjasama Tesco dan PSH ini sangat unik. Tesco amat berbesar hati turun padang selain memberi sumbangan berbentuk pakaian dan makanan,” kata Nur Mahirah.
Bagi Muhammad Salleh, tiada kata yang dapat diucap selain rasa kesyukuran di atas bantuan yang dihulurkan.
“Saya ucap terima kasihlah kepada orang ramai dengan sumbangan permaidani dan langsir ini. Syukur, Alhamdulillah.
“Terima kasih kepada saudara mara yang membantu. Saya tak tahu nak cakap apa lagi. Syukur, Alhamdulillah,” kata Muhammad Salleh.
Sementara itu, kegembiraan jelas terpancar di wajah anaknya Nur Amirah yang mengharapkan Syawal kali ini membuka lembaran baharu buat keluarganya.
“Saya suka ramai orang datang tolong. Saya suka dapat baju baharu, dapat makan kuih raya, dapat beraya macam rumah kawan-kawan saya semua,” kata Nur Amirah.
Bagi anda yang ingin membantu, sumbangan boleh dimasukkan ke akaun Bank Simpanan Nasional 0400441000008123 atas nama Muhammad Salleh Hasan atau dihantar ke alamat Jalan Ladang Pasit Berangan Enan Umbai, Merlimau, Melaka.
- Sumber: Astro Awani
- Sumber: Astro Awani
No comments:
Post a Comment