Halim Othman
MALAM raya menjadi detik yang paling dinantikan penyampai radio terkenal, Halim Othman ketika zaman kanak-kanaknya dan nostalgia itu tetap diingati hingga hari ini.
"Masa dulu keterujaannya itu akan dilihat pada malam raya di mana kita akan main sembunyi-sembunyi, main tanglung dan macam-macam lagi. Malam raya yang dinantikan. Pagi raya dah lain suasananya.
"Seolah-olah ada 'secret society' di mana budak-budak main sembunyi-sembunyi, gali lubang, main tanglung dan banyak lagi. Orang dewasa sibuk mengemas, memasak. Banyak perkara berlaku di malam raya.
"Perkara itu sudah tidak ada sekarang dan menjadi nostalgia raya. Suasana pun dah berubah," katanya kepada Sinar Online.
Meneruskan tradisi keluarga sejak turun temurun, Halim pulang beraya di kampungnya yang terletak di Kertih, Terengganu sebagai lokasi tradisi semua ahli keluarganya berkumpul pada musim perayaan.
"Saya ada kampung di Kertih, Terengganu. Semakin lama rumah itu makin berkurang penghuninya. Sekarang yang tinggal di sana hanya adik perempuan saya yang bongsu tapi dia ada keluarga di situ. Tradisinya, berpuluh-puluh tahun apabila hari raya, semua keluarga berkumpul di situ.
"Jadi sekarang ini saya pemegang tradisi itu. Abang-abang mungkin sudah tidak dapat balik tapi kerana faktor 'kebebasan' yang saya ada, saya boleh baliklah. Tahun ini saya pulang beraya selama seminggu," katanya.
Sementara itu, Halim sempat menyentuh soal pemberian duit raya yang sudah menjadi tradisi sejak dulu dan menyifatkan ia perlu dikurangkan malah generasi hari ini perlu diajar makna sebenar hari raya.
"Zaman saya ketika usia tujuh, lapan tahun dulu, tidak ada semua itu. Jika ada pun hanya di rumah orang kaya-kaya di mana orang beratur dan diberi RM1. Tapi sebenarnya kita kena ingatkan juga pada adik-adik dan anak-anak kita bahawa raya sebenarnya adalah meraikan kejayaan kita berpuasa selama sebulan.
"Ada yang tak tahu kita beraya untuk apa. Asasnya kita bangun pagi, solat sunat, bermaaf-maafan dan bersyukur kerana berjaya melalui puasa selama sebulan dan kita mengadakan sedikit jamuan yang lebih baik daripada biasa serta pakai baju cantik. Itu sahaja. Yang lain itu adalah dekorasi sahaja.
"Jadi, pemberian duit raya ini perlu dikurangkan kerana saya rasa itu adalah budaya yang kita tiru dari kaum Tionghua," katanya.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment