Saturday 18 July 2015

Kerajaan Persekutuan sedia bayar balik RM1.8 bilion kepada Terengganu

LPT2 membolehkan perjalanan dari Kuala Terengganu-Kuala Lumpur dipendekkan kepada empat jam. - Foto Facebook LPT2

KUALA NERUS: Kerajaan Persekutuan sedia membayar balik sebanyak RM1.8 bilion yang dibelanjakan bagi pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) kepada kerajaan negeri Terengganu, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman hari ini.

Katanya tempoh dan kaedah pembayaran itu, yang merupakan 40 peratus daripada RM3.7 bilion kos keseluruhan LPT2, sedang dirundingkan kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata demikian pada majlis meraikan kira-kira 3,000 anak perantauan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir sempena Aidilfitri dan penyerahan surat tawaran menunaikan fardhu haji kepada 12 bakal haji dalam Parlimen Kuala Nerus di sini.

LPT2 sepanjang 184 kilometer itu dibuka sepenuhnya pada 31 Dis tahun lepas, yang membolehkan perjalanan dari Kuala Terengganu-Kuala Lumpur dipendekkan kepada empat jam.

Ahmad Razif juga berkata LPT2, yang sebelum ini dikendalikan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), akan diuruskan oleh Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Berhad mulai bulan depan.

"Selepas ini segala kos untuk membaik pulih LPT2 akan dikeluarkan PLUS," katanya.

Selain itu, beliau berkata hentian Rehat dan Rawat, gerai dan stesen minyak LPT2 akan mula dibuka selepas bermulanya operasi PLUS. 

- Sumber: Bernama 

No comments:

Post a Comment