Wednesday, 22 July 2015

32 motosikal, 6 kereta terbakar di Mount Erskine

GEORGETOWN - Seorang wanita yang mengandung tujuh bulan nyaris keguguran dalam insiden kebakaran yang memusnahkan 32 motosikal dan enam kereta di pangsapuri Jalan Mount Erskine, di sini awal pagi ini.

Suami wanita itu, Yee Wai Kiet, 26, berkata dalam keadaan kelam-kabut keluar daripada rumah mereka di tingkat tujuh, isterinya yang mengandung anak pertama tergelincir ketika menuruni tangga sewaktu mahu melihat kereta mereka yang diletakkan di parkir tingkat dua pangsapuri itu. 

"Jiran berteriak memberitahu ada kebakaran di tempat letak kereta.Saya dan isteri yang terkejut daripada tidur terus meluru ke tempat kebakaran itu.

"Sedih melihat kereta saya yang hangus...dua tahun lagi dah habis bayar namun saya bernasib baik anak di dalam kandungan isteri tidak apa-apa," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, semua 32 motosikal dan enam kereta hangus dijilat api.

Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba Bagan Jermal Hashim Ismail berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada pukul 2.01 pagi dan jentera pertama sampai kira-kira 15 minit kemudian.

"Ketika jentera pertama tiba di lokasi, api sedang marak di tempat letak kenderaan di tingkat dua pangsapuri berkenaan dan bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke bahagian lain," katanya.

Beliau berkata dua jentera bersama 11 anggota mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengawal api daripada merebak.

Punca kejadian dan jumlah kerugian masih disiasat.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi berkata polis menerima laporan mengenai kejadian itu dan masih menyiasat punca kejadian.

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a comment