Wednesday, 22 July 2015

Luahan pilu Ardell Aryana

Ardell Aryana

GEMA takbir dan tahmid yang berkumandang pada 1Syawal lalu memberikan satu perasaan yang berbeza buat pendatang baharu, Ardell Aryana. Semuanya bercampur baur di antara perasaan sayu, sedih, gembira dan teruja.

Gembira, kerana setelah sekian lama berpenat lelah, buat pertama kalinya, pelakon ini kian dikenali ramai sekali gus mewarnai sambutan Syawalnya. 

"Ini adalah tahun ketiga saya bergelar artis. Kalau dulu, masa tahun pertama, tiada siapa pun perasan akan saya. Tahun ini ada kelainan sedikit. Malah, sepanjang Ramadan lalu, saya sibuk menghadiri program berbuka puasa termasuk anjuran daripada kelab peminat saya.

"Malah, ada pula peminat yang tak sabar untuk beraya bersama-sama dan mengajak untuk menghadiri pelbagai rumah terbuka. Alhamdulillah, saya sangat menghargainya,” katanya kepada Zass ketika ditemui melalui satu sesi fotografi, baru-baru ini.

Namun, jauh di sudut hati pemilik nama sebenar Nurul Hidayah Mohd Amin ini terselit perasaan sedih dan sayu dalam dirinya.

"Sejak kecil, ibu dan bapa saya telah bercerai, dan saya juga tidak pernah lagi berjumpa dengannya. Jadi, setiap kali menjelang Aidilfitri, ayah saya pasti tiada di sisi.

"Biarpun terasa ada kekosongan, namun kehadiran ibu dan adik-beradik lain berjaya mengubati kedukaan itu," katanya.

Tambahnya, Aidilfitri di sambut secara sederhana di rumahnya di Balakong, Cheras sebelum pulang ke kampung halaman di Kuala Selangor, pada hari raya ketiga.

"Ibu saya adalah seorang mualaf. Jadi, kami tidak punya ramai saudara mara. Nenek pula baharu saja meninggal dunia. Apabila pulang ke kampung pada hari raya ketiga, kami sekeluarga kerap menziarahi rakan-rakan ibu yang ada di sana.

"Malah, sambutan juga jadi meriah kerana saya ada keluarga yang agak besar. Bukan itu saja, ibu juga punyai ramai adik beradik angkat dan kami akan berkumpul beramai-ramai.

"Tapi tahun ini, tiga abang saya yang sudah berkeluarga bakal pulang beraya ke rumah mertuanya, mungkin akan terasa sedikit sunyi," katanya yang menggemari hidangan berkuah seperti laksa dan kuah lodeh di pagi raya.

Karier semakin berkembang

Jika diselak kembali lembaran profilnya, Ardell pernah membintangi pelbagai drama bersiri seperti Jodoh, A.K.U, Ku Kejar Bintang dan Duri Di Hati pada 2013. 

Bagaimanapun, hampir setahun tidak muncul di kaca televisyen (TV), pelakon berusia 25 tahun itu berhasrat untuk kembali mewarnai persada seni lakonan.

"Penglibatan saya dalam bidang ini, bermula secara tak sengaja. Ketika itu, saya membantu seorang rakan untuk menjadi pelakon tambahan bagi menjayakan projek filem pendeknya di universiti dan sejak itu, saya mula mendapat panggilan daripada produksi yang berminat untuk menawarkan berlakon.

"Sepanjang tahun 2013, saya aktif berlakon namun mengambil keputusan untuk memperlahankan langkah ekoran tidak yakin dengan kebolehan diri," katanya.

Namun, pendiriannya lantas berubah selepas bernaung di bawah syarikat pengurusan Prokuya Studio Sdn Bhd milik Fadzil Zahari iaitu suami kepada aktres jelita, Yana Samsudin, sejak setahun lalu.

"Terus-terang, saya baharu saja kembali aktif pada tahun ini. Alhamdulillah, berkat dorongan dan sokongan daripada syarikat pengurusan ia membantu memulihkan semangat saya. Malah, hubungan kami seperti satu keluarga," katanya.

Justeru, tidak hairanlah kelibat pelakon kecil molek ini selalu saja mewarnai kaca TV melalui pelbagai drama bersiri popular seperti Baby Ana Milik Siapa, Asam Pedas Untuk Dia, Jangan Lafazkan Janji, Dia...Isteri Luar Biasa dan terbaharu tampil sebagai heroin di sisi bintang berbakat besar, Syafie Naswip melalui drama bersiri, Wadi.

Bahkan, jika sudah namanya rezeki dan berkat Syawal, bintang Ardell semakin bersinar apabila filem pertamanya, CCTV bakal ditayangkan kepada umum pada 30 Julai ini.

Filem genre seram arahan Devan R itu menyaksikan Ardell bakal menjadi teraju utama bergandingan dengan pelakon hebat seperti Aeril Zafrel dan Hasnol Rahmat.

"Alhamdulillah, saya tak sabar menunggu ketibaan ‘bayi sulung’ saya ini. Lagi pula, saya dapat berlakon bersama-sama pelakon pujaan saya.

"Ia adalah kenangan yang tak dapat dilupakan. Mereka sangat baik dan banyak memberi tunjuk ajar kepada saya," katanya.

Bahkan, kini, Ardell melihat perkembangan karier lakonannya itu pada sudut pandangan yang positif dan terbuka.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment