Monday 29 June 2015

Polis Kelantan buru pasangan susulan kes dera kanak-kanak 5 tahun

Katanya pihak polis juga turut bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand bagi menangkap pasangan berkenaan secepat mungkin. - Foto PDRM

KOTA BHARU: Polis Kelantan sedang mengesan sepasang suami isteri masing-masing berusia 40 dan 25 tahun bagi membantu siasatan kes penderaan seorang kanak-kanak berusia 5 tahun di Pasir Mas pada 25 Jun lepas.

Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim, pasangan muda itu dipercayai melarikan diri ke Thailand susulan kejadian tersebut dan bersembunyi di sana.

Katanya pihak polis juga turut bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand bagi menangkap pasangan berkenaan secepat mungkin.

“Kecederaan mangsa serius dan kita jalankan siasatan di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak dan kita akan jalankan tangkapan kepada penjaga dia iaitu bapa dan ibu tirinya.

“Buat masa ini kita sedang buru mereka. Kita pandang serius kes ini kerana kes penderaan menyebabkan kanak-kanak ini tidak seperti kanak kanak lima tahun kerana tidak bagi makan dan seluruh tubuh ada kecederaan sampai ke kepala,” katanya.

Datuk Mazlan Lazim selepas melakukan lawatan ke atas kanak-kanak berkenaan di wad pediatrik Hospital Raja Perempuan Zainab 11 (HRPZII)

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke atas kanak-kanak berkenaan di wad pediatrik Hospital Raja Perempuan Zainab 11 (HRPZII) di sini siang tadi.

Menurut Mazlan, kecederaan kanak-kanak berkenaan yang dikenali sebagai Nur Zuliana Zaara Zulkifli, 5 tahun yang beralamat di Taman Rantau Mas, Rantau Panjang, amat serius dengan kesan kecederaan lama dan baru.

Selain itu katanya berat badan mangsa juga susut dipercayai tidak diberi makan selain kesan parut hampir di keseluruhan badan.

Mazlan menjelaskan, pihak polis kini sedang memburu pasangan berkenaan dan bekerjasama dengan semua pihak termasuk pihak berkuasa Thailand bagi menahan pasangan tersebut.

Kes disiasat mengikut seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Pada 25 Jun lalu, seorang ibu telah membuat laporan polis mengatakan anaknya yang dijaga oleh ibu tiri serta bekas suaminya mengalami kesan kecederaan lama dan baru, kesan parut, badan kurus dan berada dalam keadaan lemah.

Kanak-kanak malang itu dijaga oleh ibu tirinya yang berusia 25 tahun selepas ibu kandung kanak-kanak berkenaan berpisah dengan bapanya sejak tahun 2013.

Selepas mendapati keadaan anaknya itu lemah beliau telah mendapatkan rawatan di hospital di Sungai Golok, sebelum di rujuk ke HRPZII pada 26 Jun lepas.

Keadaan kanak-kanak ini masih lemah namun stabil.

Kanak-kanak terbabit juga dikatakan enggan bercakap kerana masih lagi trauma.

Pemantauan terhadap kanak-kanak ini dilakukan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di HRPZII. 

Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment