Monday 29 June 2015

Polis cedera dirempuh mat rempit

Gambar hiasan

MUAR - Seorang anggota polis cedera apabila dirempuh sebuah motosikal yang dipercayai sedang berlumba haram dalam kejadian di Lebuhraya Air Keroh-Melaka-Jasin (AMJ), Kesang di sini, semalam. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Ledang, Deputi Superintendan Zainal Mohamed Mohamed berkata, dalam kejadian kira-kira pada pukul 2 pagi itu anggota polis berpangkat konstabel cedera pada mulut dan tangan selepas mangsa berusia 27 tahun itu tersembam di atas jalan raya akibat dirempuh motosikal yang dinaiki pemuda berumur lingkungan 20an itu. 

"Kami percaya insiden berlaku apabila mat rempit yang asyik berlumba haram panik melihat kehadiran sepasukan polis di lebuh raya itu yang sedang melakukan operasi lalu merempuh mangsa sebelum melarikan diri," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, anggota yang bertugas di Balai Polis Gersik itu kemudiannya mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar. 

Katanya, suspek bagaimanapun berjaya melepaskan diri. 

Sementara itu seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dilaporkan bertindak menendang motosikal polis apabila diarahkan memberhentikan motosikal dalam cubaan melarikan diri tetapi tidak berjaya. 

Remaja itu adalah pelajar sekolah menengah di Melaka dan dia antara lapan individu termasuk wanita ditahan reman bagi membantu siasatan‎, katanya. 

Menurutnya, remaja lelaki berkenaan ditahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang polis menjalankan tugas. 

Beliau berkata dalam operasi itu tujuh suspek lain termasuk seorang wanita ditahan kerana didapati positif dadah jenis syabu hasil ujian air kencing yang dilakukan ke atas mereka. 

"Kesemua suspek berusia antara 18 hingga 29 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan. 

"Dalam operasi itu kita memeriksa seramai 188 orang membabitkan tujuh perempuan dan 181 lelaki daripada 158 kenderaan membabitkan 115 motosikal, kereta (25) dan lain-lain (18)," katanya.

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment