Monday 29 June 2015

Bakar rumah bekas kekasih kerana pinangan ditolak

KEMAMAN - Gara-gara pinangan ditolak, seorang pemuda dipercayai bertindak liar dengan membakar sebahagian rumah bekas teman wanitanya di Taman Zamina Indah Geliga, Kemaman pada awal pagi semalam.

Insiden itu hanya disedari kira-kira pukul 9 pagi ini selepas pengadu yang juga bapa kepada wanita berkenaan mendapati bahagian bumbung rumahnya telah terbakar.

Ketika kejadian, penghuni kediaman tersebut tiada di rumah kerana sedang mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Kuantan dan sebaik pulang, mereka terkejut melihat sebahagian bumbung rumah mereka hangus serta terdapat kesan terbakar pada barangan di dalam rumah.

Malah sebelum itu, anak gadisnya yang berusia 19 tahun telah menerima ugutan pukul melalui panggilan telefon daripada suspek sekiranya wanita itu enggan menemui suspek.

Insiden yang sama telah berlaku pada Jumaat, yang mana sebelum ini pengadu yang berusia 57 tahun itu mendapati beberapa helai pakaian dalam bakul plastik yang diletakkan di bahagian luar rumah mempunyai kesan terbakar.

Pengadu yang bertugas sebagai pengurus di sebuah syarikat itu mengesyaki perbuatan khianat itu dilakukan oleh bekas teman lelaki anaknya kerana sebelum kejadian beliau turut menerima ugutan menerusi aplikasi WhatsApp daripada suspek.

Difahamkan sebelum ini, suspek telah datang ke rumah keluarga berkenaan dan rentetan itu tercetusnya pergaduhan dengan teman wanitanya ketika keluarga berkenaan tiada di rumah.

Sementara itu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Asisten Kominsioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah ketika dihubungi Bernama mengesahkan laporan berkenaan.

Katanya, pihak polis telah mengenal pasti suspek yang berasal dari Kampung Alor Lintang, Besut dan gerakan memburu suspek kini sedang giat dijalankan.

Dalam pada itu, Pegawai Zon 2, Bomba dan Penyelamat Terengganu Azmi Abdul Rahim, berkata pihaknya bersama sepasukan pakar forensik bomba masih menjalankan siasatan di lokasi kejadian bagi mengetahui punca sebenar dan nilai kerugian. 

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment