Thursday 7 May 2015

PKR kekal kerusi Permatang Pauh

Wan Azizah (kanan) dirai keluarga dan penyokong PKR sejurus pengumuman keputusan rasmi dan kemenangan parti itu. -Astro AWANI / Shahir Omar

PERMATANG PAUH: Parti Keadilan Rakyat (PKR) berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Permatang Pauh apabila calonnya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menang dengan majoriti 8,841 undi.

Wan Azizah berjaya mendapat 30,316 undi, manakala calon Barisan Nasional (BN) Suhaimi Sabudin memperoleh 21,475 undi, calon Bebas Salleh Isahak 367 undi, dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Azman Shah Othman 101 undi.

Jumlah undi rosak ialah 843.

Keputusan rasmi PRK itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK Permatang Pauh, Jusni Ismail pada jam 10.15 malam tadi di Dewan Perdana, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di sini.

Peratusan yang keluar mengundi adalah 74 peratus.

Calon BN, PRM dan Bebas bagaimanapun tidak hadir ketika pengumuman itu dibuat.

Pada pilihan raya umum (PRU) 2013, Ketua Pembangkang dan bekas Ahli Parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga suami Dr Wan Azizah, menerima 37,090 undi menewaskan calon BN Dr Mazlan Ismail (25,369 undi) dan calon Bebas Dr Abdullah Wan Zawawi (201 undi).

Anwar menang dengan majoriti 11,721 undi.

Jumlah undi yang diperoleh Wan Azizah dalam PRK ini berbanding Anwar pada PRU lalu pula berkurangan sebanyak 6,774.

Proses pengundian bermula sekitar jam 8 pagi tadi di 25 buah pusat pembuangan undi dengan 130 saluran mengundi.

PRK Permatang Pauh menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Suhaimi, Dr Wan Azizah, Azman Shah dan Salleh.

Kerusi itu kosong selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan liwat kedua beliau pada 10 Februari manakala Lembaga Pengampunan menolak permohonan pengampunan yang difailkan keluarga Anwar terhadap hukuman penjaranya.

Kawasan Parlimen Permatang Pauh mempunyai 71,890 pengundi, dengan kira-kira 70 peratus pengundi Melayu.

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment