Thursday 7 May 2015

Saya nafikan TH beli 2 unit, bukannya...

Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim

SHAH ALAM – Gara-gara kenyataannya sebelum ini yang menafikan soal penyebaran dokumen berkaitan pembelian tanah milik syarikat pelaburan kontroversi, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang tersebar di media sosial, Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Azeez Rahim dihentam teruk di laman mikro Twitter.

Menjelaskan perkara itu, Azeez berkata, penafian yang dibuat olehnya menjurus kepada pembelian dua plot tanah Tun Razak Exchange (TRX) dari 1MDB dengan nilai RM772 juta.

“TH hanya laburkan pada satu unit sahaja dengan harga yang lebih murah. Bukan dua unit seperti mana tertulis dalam blog. Itu yang saya nafikan,” tulisnya.

Dalam sidang media hari ini, Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Johan Abdullah mengesahkan badan berkanun itu telah membeli sebidang tanah bernilai RM188.5 juta di Tun Razak Exchange (TRX) milik 1MDB bagi pembangunan sebuah menara kediaman.

Melalui interaksi Abdul Azeez dengan pengikutnya di Twitter, beliau sekali lagi menyatakan penafiannya berhubung pembelian bernilai RM722 juta.

“Ya, maaf atas ‘miscommunication’. Ia tak benar tentang RM722 juta berkaitan dua lot itu. Itu yang saya nafikan,” terangnya.

Sebelum itu, beliau menafikan dakwaan yang menyebut Tabung Haji akan membeli dua plot tanah Tun Razak Exchange (TRX) dari 1MDB dengan RM772 juta tunai.

“Tak betul. TH akan keluarkan kenyataan secepat mungkin. Terima kasih,” tulisnya menjawab pertanyaan pengikutnya di laman itu, semalam.

Beberapa blog telah memuatnaik dokumen-dokumen berkaitan pembelian tanah TRX dan mendakwa ia menggunakan wang pendeposit yang disimpan bukannya wang kerajaan.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment