Monday 18 May 2015

Pesawat rasmi ACJ320 bukannya untuk kemewahan - Najib

Pesawat eksekutif ACJ320 itu yang baharu diperoleh kerajaan pada Ahad melakukan penerbangan rasmi pertama dengan membawa Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata adalah menjadi amalan standard di seluruh dunia bagi kebanyakan pemimpin untuk menggunakan jet rasmi, namun ia bukannya untuk kemewahan tetapi sebagai kecekapan dalam menjalankan tugas mereka.

"Hiasan dalaman pesawat dikonfigurasikan supaya mesyuarat dan perbincangan boleh diadakan dalam pesawat dan tugas negara boleh diteruskan walaupun semasa penerbangan.

"Oleh itu, tidak timbul persoalan sama ada atau tidak sesebuah negara harus mempunyai sebuah jet rasmi," kata beliau dalam catatan terbaharunya dalam blog NajibRazak.com.

Dalam catatannya itu, Najib menyenaraikan 13 tuduhan dan dakwaan yang dilemparkan terhadapnya dan kerajaan, selain memberi maklum balas beliau berhubung perkara itu.

Beliau menjelaskan pesawat eksekutif Airbus Corporate Jet (ACJ 320) dibeli bagi menggantikan pesawat berusia 16 tahun yang berbahaya dari segi keselamatan.

"Selain itu, ia juga adalah pesawat rasmi yang digunakan oleh Yang Di-Pertuan Agong, yang merupakan sebab mengapa kita tidak boleh berkompromi mengenai jaminan keselamatan," kata beliau.

Najib berkata kos penyenggaraan pesawat lama adalah tinggi, oleh itu kerajaan akan melupuskan pesawat lama dan wang yang diperoleh daripada penjualannya akan digunakan untuk mengurangkan kos pembayaran pesawat baharu.

"Kita tidak boleh terpengaruh dengan propaganda pembangkang bahawa kerajaan telah membazirkan wang membeli jet baharu. Apa yang mereka gagal jelaskan adalah jet itu dibeli untuk menggantikan pesawat berusia 16 tahun, yang berbahaya dari segi keselamatan," kata beliau.

Pesawat eksekutif ACJ320 itu yang baharu diperoleh kerajaan pada Ahad melakukan penerbangan rasmi pertama dengan membawa Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dari Alor Star ke Pulau Langkawi. 

- Sumber: Bernama 

No comments:

Post a Comment