Monday 18 May 2015

BR1M bukan rasuah

BR1M adalah elaun keselamatan sosial memandangkan ia menyasarkan kumpulan-kumpulan yang menerima kesan (daripada tekanan ekonomi).

KUALA LUMPUR: Menjawab kepada pihak yang masih mempertikaikan tentang pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Perdana Menteri Datuk Najib Tun Razak hari ini menegaskan bahawa program berkenaan adalah inisiatif jaringan keselamatan sosial rakyat khususnya untuk golongan berpendapatan rendah yang disyorkan pakar ekonomi negara.

Melalui laman web NajibRazak.com, Perdana Menteri menjelaskan bahawa BR1M merupakan jaringan keselamatan sosial yang disyorkan oleh Jawatankuasa Fiskal Negara yang terdiri daripada para pegawai rasmi Unit Perancangan Ekonomi (EPU), Bank Negara dan Kementerian Kewangan.

“Kebanyakan daripada mereka ialah pakar-pakar ekonomi dan bukannya ahli politik. Jaringan sosial seumpamanya juga dilaksanakan di banyak negara lain.

“Ada yang mengatakan ia ‘bantuan untuk pengangguran’ yang menyasarkan golongan yang tidak bekerja. Bagaimanapun, BR1M adalah untuk golongan berpendapatan rendah.

“Kedua-duanya adalah bentuk elaun keselamatan sosial memandangkan ia menyasarkan kumpulan-kumpulan yang menerima kesan (daripada tekanan ekonomi),” jelas beliau.

Najib menjelaskan, kerajaan mahu merasionalkan konsep subsidi menyeluruh menjadi subsidi yang menyasarkan golongan memerlukan. Dengan memansuhkan subsidi menyeluruh, kerajaan dapat menjana simpanan yang kemudian disalurkan kepada golongan berpendapatan rendah.

BR1M juga menurut Najib, bermanfaat untuk meringankan beban golongan sasaran berdepan dengan masalah kenaikan kos sara hidup.

Najib juga mengulas tentang sesetengah ahli politik yang mendakwa walaupun dengan pemberian BR1M, rakyat tidak berterima kasih.

“Pemikiran yang semata-mata beracuan politik itulah yang membuatkan mereka percaya BR1M sebagai rasuah, sedangkan itu bukan yang difikirkan jawatankuasa fiskal.

"Kami melihatnya sebagai langkah ekonomi dan diberikan kepada sesiapa sahaja yang layak tanpa memandang paksi politik mereka. Ia juga diberi mengikut tempoh tertentu dan bukan hanya ketika pilihan raya,” jelas beliau.

Menurut Najib, orang selalu berkata ‘berikan seseorang ikan, dia akan makan untuk sehari, Ajarkan dia memancing, dia boleh hidup sepanjang hayat’.

“Namun realitinya, kita perlu lakukan kedua-duanya – memberi bantuan kepada yang memerlukan dan pada masa yang sama melabur dalam pendidikan, menambah baik kemahiran dan melonjak produktiviti,” jelas Najib.

Tambahnya, Kementerian Pendidikan menerima peruntukan terbesar dalam bajet selain kerajaan memperkenalkan pelbagai program latihan di bawah beberapa kementerian seperti program TERAJU, Tekun, Genovasi, Superb, MAGiC dan banyak lagi. 

- Sumber: Astro Awani | Mei 17, 2015

No comments:

Post a Comment