Monday 18 May 2015

Geng motor besar bertelingkah, 9 anggota terbunuh



Seorang anggota polis tempatan mengawal kawasan tempat letak kereta berhampiran restoran Twin Peaks pada Ahad Mei 17, 2015, di Waco, Texas. AP/Rod Aydelotte/Waco Tribune-Herald

WASHINGTON: Sekurang-kurangnya sembilan orang anggota geng motor besar terbunuh di Texas pada Ahad apabila pergaduhan antara kumpulan berseteru meletus di sebuah tempat meletak kenderaan.

Polis memberitahu wartawan tempatan bahawa mereka lega bahawa tiada seorang pun mereka yang sedang makan di restoran berhampiran tempat kejadian cedera ketika sekurang-kurangnya lima anggota geng berbeza bergaduh menggunakan senjata api. 

"Dalam 34 tahun penguatkuasaan undang-undang, ini adalah kejadian paling ganas yang pernah saya terlibat. Darah di merata tempat," kata Sarjan Patrick Swanton kepada akhbar Waco Tribune.

"Ini adalah salah satu pergaduhan bersenjata terburuk kami pernah lihat dalam kawasan bandar. Mereka mula menembak pegawai kami," katanya.

Pertempuran berlaku di luar sebuah restoran yang juga sebahagian daripada rangkaian bar sukan dikenali sebagai Twin Peaks yang terletak di kawasan pusat membeli belah di Waco.

Ia juga tempat untuk anggota kumpulan bermotosikal berkumpul.

Polis sebelum itu berkata pihak mereka telah dimaklumkan tentang perhimpunan geng motor besar yang dirancang terlebih dahulu dan pegawai mereka telah bertindak campur tangan dengan pantas, tetapi ahli kumpulan mula bergaduh dengan menggunakan pisau, rantai besi dan kemudian senjata api.

Susulan itu, pihak berkuasa telah mengarahkan perniagaan di kawasan itu ditutup dan memindahkan saksi dan suspek untuk tujuan keselamatan.

Turut dilaporkan bahawa lebih ramai ahli geng lain menuju ke kawasan berkenaan untuk meneruskan persengketaan.

Stanton berkata polis juga telah melaporkan kebimbangan mereka kepada Twin Peaks namun pihak terbabit enggan memberikan kerjasama.

Media tempatan melaporkan bahawa seramai 18 yang lain turut cedera.

Polis Waco dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook memaklumkan tiada pegawai polis cedera. 

- Sumber: Agensi

No comments:

Post a Comment