Monday 13 April 2015

Zulfazil Ibrahim: Saya mahu keadilan untuk Zamani

Zulfazil (kiri) bersama Ahmad Zaharil.

RATA-RATA sedia maklum bahawa penyanyi terkenal, Zamani telah ditahan polis pada 21 Januari lalu kerana didakwa memiliki dadah jenis heroin seberat 1.2 gram selepas polis membuat serbuan di kediamannya di Taman Keramat, Kuala Lumpur.

Setelah dibebaskan dari tahanan reman atas jaminan polis, penyanyi ini terus menjalani rawatan pemulihan di Rumah Pengasih.

Menurut abang Zamani, Zulfazil Ibrahim, sepanjang menjalani rawatan di sana, adiknya telah mengalami sakit bahagian belakang yang teruk sehingga Pengasih perlu mendapatkan pemeriksaan daripada doktor pakar untuk Zamani.

"Setelah diperiksa, doktor mengesahkan bahawa Zamani mengalami kecederaan tulang belakang dan memerlukan pembedahan segera kerana kesakitan itu mengganggu pergerakannya.

"Pun begitu, kami berdepan dengan masalah kewangan kerana kos pembedahan itu mencecah RM50,000 sedangkan adik saya tidak mempunyai akaun bank peribadi yang menyimpan wang hasil titik peluhnya.

"Namun, Zamani memberitahu saya bahawa pihak pengurusannya ada menyimpan sebahagian daripada wang berkenaan. Saya tidak menuduh sesiapa, namun saya hanya mahu keadilan yang sewajarnya untuk adik saya," katanya yang turut memberitahu ada berjumpa pihak berkenaan dan bertanya mengenai hal itu.

Tambah Zulfazil, kecederaan Zamani, 43, bukanlah berpunca daripada pengambilan dadah, namun ia adalah kesan kecederaan lama yang dihidapi adiknya tiga tahun lalu.

"Zamani memberitahu saya yang dia pernah terjatuh satu masa dahulu. Namun, mungkin sebelum ini dia tidak merasai kesakitan itu akibat bahan terlarang yang kemungkinan bertindak sebagai pain killer.

"Sekarang, bila dia sudah beransur sihat dan tidak lagi mengambilnya, kesakitan itu mula dirasai dan menyukarkan pergerakan.

"Selama 22 tahun, Zamani bersama pihak pengurusan berkenaan, takkan tiada langsung simpanan yang dibuat? Itu yang membuatkan saya hairan dan mahu pihak berkenaan menyediakan bukti bayaran dan di mana wang simpanan selama ini," katanya lagi.

Larangan berjumpa?

Sebelum ini, pengurusan Zamani mendedahkan pihaknya dilarang keras berjumpa sejak penyanyi itu ditempatkan di pusat pemulihan berkenaan.

Menurut pengurusnya, Johan Aziz, 49, pihaknya pelik apabila keluarga dan peguam Zamani, Ahmad Zaharil Muhaiyar bertindak sedemikian selain menganggap larangan tersebut sebagai tidak adil.

Menjawab mengenai dakwaan itu, Zulfazil memberitahu bahawa dia dan keluarga tidak pernah meletakkan sebarang larangan untuk sesiapa sahaja yang ingin berjumpa dengan Zamani.

"Siapa kami untuk menghalang? Ini adalah permintaan daripada pihak Pengasih sendiri kerana Zamani masih lagi berada dalam proses awal pemulihan.

"Saya sendiri juga tidak boleh sewenang-wenangnya datang berjumpa kerana pelbagai aktiviti telah ditetapkan oleh pihak Pengasih. Saya hanya akan pergi sekiranya pihak mereka meminta kami membawa kelengkapan termasuk pakaian kepada Zamani.

"Dia sepatutnya memahami keadaan Zamani sekarang dan hormati keputusan pihak Pengasih. Lagipun, untuk pelatih di sana, mereka tidak digalakkan untuk menerima kunjungan yang kerap kerana boleh mengganggu proses rawatan mereka," jelasnya lagi.

Dalam pada masa yang sama, Zulfazil juga turut berkongsi kondisi penyanyi itu dan memberitahu bahawa adiknya kini semakin menunjukkan peningkatan yang baik.

"Apa yang saya lihat, saiz pakaiannya sudah bertukar ke saiz yang lebih besar. Saya nampak, dia semakin bersemangat dan selesa.

"Jika dilihat dari sudut fizikal, dia sudah beransur sihat, namun dari segi mental, dia masih memerlukan rawatan selanjutnya," katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment