Monday 13 April 2015

Tiada tindakan disiplin terhadap Dr Mahathir selagi tiada laporan - Ku Nan

Tiada tindakan disiplin terhadap Dr Mahathir selagi tiada laporan - Ku Nan

KUALA LUMPUR: Tiada sebarang tindakan disiplin akan dikenakan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Tengku Adnan berkata tindakan disiplin tidak akan dikenakan selagi tiada laporan dibuat oleh ahli UMNO terhadap Dr Mahathir.

"Kami akan ambil tindakan disiplin jika ada laporan," katanya ketika ditanya tentang tindakan terhadap Dr Mahathir kerana membuat kritikan terbuka terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNo Wilayah Persekutuan itu juga berharap supaya Tun tidak membuat teguran terhadap pimpinan UMNO secara terbuka sebaliknya menggunakan saluran yang sepatutnya.

"Kenapa nak buat (kritik) secara terbuka, boleh buat secara peribadi," katanya lagi.

Semalam UMNO Wilayah Persekutuan mengadakan satu sidang media khas menyatakan sokongan mereka kepada Najib yang menerima kritikan keras dari Dr Mahathir mutakhir ini.

Dr Mahathir dalam siri kritikannya mendesak Najib menjelaskan kepada rakyat tentang isu dana pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Selain itu, Dr Mahathir juga mendesak supaya siasatan dilakukan terhadap kenyataan yang dibuat oleh bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Koperal Sirul Azhar Umar yang mendakwa dia menerima arahan untuk membunuh warga Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Khamis lepas, Najib dalam satu tembual menerusi rancangan Soal Jawab di TV3 sekali lagi mengulangi bahawa beliau tidak mengenali Altantuya.

Manakala dalam isu 1MDB, Najib menjelaskan beliau telah mengarahkan supaya satu siasatan forensik dilakukan oleh Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) terhadap perkara dibangkitkan. 

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment