Monday 13 April 2015

Siti Nurhaliza tetap nombor satu!

Siti Nurhaliza

APA lagi yang diharapkan oleh seorang anak seni selain melihat titik peluh yang diusahakan selama ini terus relevan dan dihargai biarpun peredaran zaman tidak pernah berhenti.

Penat lelah sepanjang dua dekad memperjuangkan karier sebagai seorang penyanyi seakan berbaloi setelah pencapaian yang digapai bukanlah calang-calang.

Bukan itu sahaja, gelaran penyanyi nombor satu negara yang diberikan kepada empunya nama Datuk Siti Nurhaliza mencantikkan lagi fragmen karier seninya.

Demi melengkapkan perjalanan seninya yang kini genap dua dekad, anak jati Kuala Lipis, Pahang ini melengkapkan lagi portfolionya menerusi konsert akustik ‘Datuk Siti Nurhaliza Unplugged 2015’ telah dijalankan di Istana Budaya baru-baru ini.

Lebih manis, selain peminat setia, rakan artis dan keluarga tercinta, konsert itu turut dihadiri bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad serta isterinya Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali.

Tepat jam 8.40 malam, persembahan solo yang dinanti-nanti mula membuka tirainya dengan nyanyian pertama Membunuh Benci seterusnya medley Mahligai Asmara dan Satu Cinta Dua Jiwa.

Penampilan anggun Siti yang mengenakan busana rekaan Rizman Ruzaini, menambahkan lagu auranya sebagai seorang penghibur yang tidak ada tandingannya.

Dewan terus diriuhkan dengan sorakan penonton yang teruja menyaksikan penyanyi kesayangan mereka beraksi.

Berkongsi kisah awal penglibatannya dalam seni tarik suara, Siti menyampaikan medley lagu-lagu pertama yang direkodkan di studio ciptaan komposer hebat, Datuk Adnan Abu Hassan seperti Jawapan Di Persimpangan, Purnama Merindu dan Diari Hatimu.

Pemilihan konsep akustik benar-benar tepat apabila persembahan ini dilihat lebih menonjolkan vokal Siti yang diiringi garapan muzik oleh pemuzik hebat, Aubrey Suwito.

Biarpun dua puluh tahun telah berlalu, namun kelunakan suara penyanyi ini masih lagi mampu membuat seluruh penonton yang hadir terpesona.

Aku Cinta Padamu, Biarlah Rahsia, Wajah Kekasih dan Kau Kekasihku adalah antara persembahan yang dinanti-nantikan penonton yang sudah tentu mengembalikan nostalgia lalu.

Menggamit memori lama, Siti turut mengundang komposer yang banyak berjasa mengasah bakatnya iaitu Adnan untuk turut mengiringi dengan alunan piano di atas pentas menerusi lagu Jerat Percintaan dan Gelora Jiwa.

Perhatian penonton berjaya dicuri dengan persembahan yang cukup menyentuh.

Bijak berinteraksi dengan penonton yang hadir, Siti tidak terlepas berkongsi kisah-kisah perjalanan keriernya sekali gus membuatkan penonton lebih mengenali siapa dirinya yang sebenar.

Selain menyampaikan nyanyian popularnya, Siti turut memberi fokus pada penyampaian medley lagu-lagu yang terkandung dalam album Fragmen iaitu Mula dan Akhir, Aku, Sanubari, Terbaik Bagimu dan Sangat Bererti.

Setelah lebih kurang dua jam, konsert diakhiri dengan persembahan kemuncak dengan lagu hit Jaga Dia Untukku, Lebih Indah dan Seluruh Cinta yang turut terkandung dalam album Fragmen

Berpuas hati dengan pencapaian yang diraih dalam masa dua dekat ini bukanlah alasan buat dirinya terus berada di zon selesanya.

Tidak merancang strategi hala tuju karier, Siti akui kejayaan yang dicapai pada hari ini berlaku dengan sendirinya.

“Alhamdulillah, setakat ini apa yang saya alami dalam masa dua dekat ini banyak pencapaian yang kadang-kadang saya sendiri tidak jangka dan juga apa yang saya target.

“Buat masa ini, kalau ditanya apa lagi yang saya mahu lakukan, memang saya tidak tahu kerana saya lebih suka ia berjalan secara sendirinya.

“Setiap apa yang saya lakukan, saya cuba beri yang terbaik untuk menghiburkan peminat yang tidak jemu menyokong,” tuturnya teruja.

Tidak hanya meletakkan hasrat pada pencapaian secara individu, penyanyi berusia 36 tahun ini, punyai misi dalam menyumbang sesuatu dalam industri hiburan tanah air.

“Sebagai penyanyi memang saya mahu hasilkan produk yang berkualiti, namun saya juga mahu menyumbang sesuatu kepada industri.

“Kalau boleh, saya mahu masyarakat bukan setakat mendengar nyanyian saya sebagai satu hiburan tapi pada masa yang sama dapat manfaatkan nyanyian saya dalam kehidupan mereka.

“Mudah-mudahan lagu yang saya sampaikan mampu memberi semangat dan ilmu menerusi lirik-lirik yang membina seperti mana yang saya tonjolkan dalam album Fragmen yang lebih kepada elemen positif,” katanya.

- baca artikel penuh di: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment