Saturday 11 April 2015

'Tolong keluarkan kami segera'

Beberapa pelajar mencedok nasi dari periuk.

GEORGETOWN - “Kalau boleh kami nak balik segera ke Malaysia. Dah tak tahan hidup macam ini dan terkurung dalam masjid sahaja,” demikian keluhan Ahmad Faizal Mohd Asri yang masih terperangkap bersama rakan lain di Masjid Al-Idrus, Aden di Yaman.

Dia yang masih menuntut di Ribat al-Idrus berkata, kehidupan begitu terseksa kerana tidak dapat bergerak bebas akibat pergolakan yang berlaku di negara itu.

“Keadaan keselamatan di sini juga tak terjamin. Mungkin dalam masjid agak selamat tapi di luar belum tentu.

“Saya sudah terperangkap tiga minggu dalam masjid ini," katanya ketika menghubungi Sinar Harian melalui aplikasi WhatsApp, kira-kira jam 7 petang semalam.

Perbezaan waktu Yaman lewat lima jam berbanding waktu di Malaysia.

Menurutnya, mereka juga hampir kehabisan wang tunai kerana semua bank ditutup dan rosak akibat terkena bedilan bom.

“Saya dan rakan lain tidak boleh bergerak ke mana pun. Nak keluar takut terkena tembakan peluru sesat dari puak yang bertelagah. Jadi kami semua duduk dalam masjid sepanjang masa,” katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Faizal yang berasal dari Paka, Dungun, Terengganu bertekad untuk meneruskan pengajian di situ apabila keadaan kembali stabil.

“Tak tahu bila keadaan akan pulih seperti sedia kala, saya harap dapat terus menuntut ilmu di sini,” katanya.

Muhammad Wafiy Azizi Abd Aziz juga mahu pulang segera ke Malaysia kerana bimbang keselamatan mereka.

Katanya, penduduk tempatan banyak membantu, tetapi mereka juga kebanyakannya hidup daif.

“Sekurang-kurangnya keadaan kami terjamin setakat ini walaupun di merata tempat kedengaran tembakan,” katanya.

Menurutnya, keadaan memang tidak selesa kerana bekalan makanan hampir habis dan bekalan baharu sukar diperoleh.

“Kalau ada pun harganya mahal dan kami tidak mampu beli. Duit pun hampir habis,” katanya yang berasal dari Serdang, Kedah.

Muhammad Izham Hamdan dari Gerik, Perak, pula berkata, mereka hanya makan untuk mengalas perut tanpa memikirkan sedap atau tidak.

“Biasalah dalam keadaan begini, apa sahaja yang dimasak semuanya rasa sedap. Tadi saya makan nasi dengan terung air manis. Tak rasa apa pun, tapi makan juga lah. Tidak boleh memilih,” katanya.

Menurutnya, sumber air bersih juga makin berkurangan dan mereka terpaksa berjimat untuk bekalan minuman dan wuduk.

“Dah tak boleh bersenang lenang seperti keadaan sebelum bergolak. Semuanya menjadi makin sukar dan sumber makanan makin terhad. 

“Kami harap dapat keluar segera dari kawasan ini dan berlindung di tempat lain yang lebih selamat jika tidak dapat pulang ke Malaysia," katanya. 

Mohamad Haziq Mohd Fadzil dari Manjung, Perak, berkata, menu harian mereka hanya nasi dengan telur goreng atau terung sahaja.

Katanya, mereka perlu berjimat kerana tidak tahu berapa lama akan berada di masjid itu sebelum dibawa keluar ke tempat lain atau pulang ke tanah air.

“Stok makanan yang ada saya beli dua bulan lalu. Memang harga barang naik tapi tak tahu harga sekarang ini. Penduduk tempatan kata harga semua barang melambung kerana semakin sukar diperoleh dan kurang di pasaran.

“Kami berharap stok makanan yang ada mampu bertahan sehingga kami dibawa keluar dari sini,” katanya.

Kata Mohamad Haziq, penduduk masih datang ke masjid itu untuk solat jemaah bersama pelajar yang menumpang di situ.

“Kami bergilir-gilir melaungkan azan dan solat diimamkan oleh penduduk tempatan,” katanya.

Menurutnya, 167 pelajar yang berlindung di masjid itu merangkumi 67 pelajar Malaysia, 97 dari Indonesia dan tiga dari Thailand.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment