Thursday 9 April 2015

GST ringankan beban rakyat?

GENAP seminggu setelah dilaksanakan di seluruh negara, jiran saya mengakui GST betul-betul meringankan beban rakyat. Dulu dialah yang menentang keras sambil menegaskan cukai tersebut pasti menyusahkan.

Betapa pun kerajaan dalam kempen menerusi media memberitahu matlamat jangka panjang cukai baru ini untuk membantu orang ramai, jiran – juga sebahagian besar jemaah surau saya – tidak percaya cukai barang dan perkhidmatan tidak membebankan.

Hakikatnya baru beberapa hari dilaksanakan sudah terasa beban semakin berkurangan, seperti yang diceritakan oleh orang sebelah rumah saya. Begini kisahnya:
Sejak sekian lama menjadi tanggungjawabnya menemani isteri membeli-belah setiap minggu. Dia memilih hari Rabu sebab tidak suka berasak-asak di pasar raya jika membeli pada hujung minggu.

Dia tidak pandai memilih barang, tetapi perlu mengikut isteri untuk menolak troli – sarat dan berat dengan pelbagai keperluan – dan akhirnya melangsaikan pembayaran di kaunter.

Petang itu dia membayar seperti biasa kira-kira RM300. Tetapi ada sedikit yang luar biasa. Sebelum ini dengan RM300, troli penuh dan terasa berat menolaknya ke tempat letak kereta. Kali ini troli tidak penuh, dan tidak berat.

Ketika di kereta dalam perjalanan pulang, isterinya merungut: Banyak barang keperluan naik harga, bukan lima sen atau sepuluh sen, malah ada yang naik hingga RM1 – RM2. Sudahlah naik harga, kena pula GST. Sebab itu bayar RM300 troli jadi makin ringan!

Sambil menelan liur dan menahan marah di dalam hati, kawan saya memberitahu isterinya: “Betullah GST meringankan beban troli kita!”

Tidak sahaja pengalaman yang dilalui jiran saya, orang lain pun mula terasa kenaikan harga barang berikutan GST. Dia orang boleh menerima hakikat bahawa dengan cukai baru itu mereka terpaksa membayar 6 peratus.

Apa yang mereka rungutkan ialah banyak barang yang dikecualikan dari GST tiba-tiba naik harga. Tomato, sawi, kangkung semua naik harga antara 20 sen hingga 50 sen. Penjual menjadikan GST sebagai alasan. Ikan, ayam dan lauk-pauk lain pun mencanak semacam.

Penjual kata mereka tiada pilihan dan terpaksa menaikkan harga sebab pemborong naikkan harga. Pemborong kata, mereka naikkan harga sebab pengilang dan pengeluar pun naikkan harga.

Penjual salahkan pemborong. Pemborong salahkan pengeluar. Pengeluar salahkan GST. Maka lagu klise Bangau Oh Bangau pun berulang. GST atau tidak GST akhirnya yang terpaksa membayar lebih ialah pengguna.

Ada hotel dan restoran yang terus mengenakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), walaupun cukai itu sepatutnya dimansuhkan dengan pelaksanaan GST. Kini tidur di hotel dan makan di restoran kena membayar dua cukai, iaitu SST 10 peratus dan GST 6 peratus.

Menurut ‘menteri GST’ Datuk Seri Hasan Malek, kementerian bercadang mengeluarkan pensijilan khas untuk restoran dan hotel yang boleh mengenakan caj perkhidmatan.

Katanya: “Sijil ini adalah langkah sementara bagi memastikan penyelesaian jangka panjang dapat diambil berikutan GST.” Pelik, kenapa perkara ini tidak difikirkan sebelum pelaksanaan cukai baru? Ini satu bukti kita belum bersedia.

Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Abdullah Sani turut merungut dengan SST: “Saya sendiri terasa beban itu, bayangkan ada kedai dan restoran mamak mengenakan caj servis lima peratus dan ditambah pula GST enam peratus menjadikan jumlah cukai 11 peratus.”

Terbukti banyak peniaga mengambil kesempatan untuk mencekik pengguna. Seperti yang dilaporkan media sebuah restoran di Jalan Tunku Abdul Rahman tiba-tiba menaikkan harga segelas teh-O ais dan teh ais menjadi RM3, sebutir telur rebus naik 40 sen kepada RM2, nasi putih kosong dulu RM1.50 kini RM3.

KPDNKK mengeluarkan notis di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, dan memberi tempoh tiga hari untuk restoran berkenaan memberi penjelasan mengapa harga melonjak begitu ketara. Jika bersalah denda RM50,000 atau dua tahun penjara atau keduanya.

Apa yang dilakukan oleh restoran terkenal itu bukan kes terpinggir. Ada beribu-ribu lagi kedai menaikkan harga barang mengikut suka hati. Pengguna kena dera sebab barang naik dan kena pula GST.

Sekiranya kepincangan ini tidak diatasi segera dengan tindakan tegas, rakyat akan marah sampai bila-bila. GST akan bertukar menjadi ‘Geram Sampai Tua’!

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment