Thursday 9 April 2015

‘Tulislah berapa, makcik tak tau umur’

Hanya mampu menyewa sebuah stor kecil berdindingkan zin.

KOTA BHARU - Perit hari-hari ditempuh seorang wanita warga emas kerana tidak pernah memiliki pengenalan diri menyebabkan dia sendiri sudah tidak tahu berapa usianya sekarang.

Lebih menyedihkan keadaan wanita itu apabila hidup sebatang kara dengan hanya menyewa di sebuah stor kecil berdindingkan zin di belakang sebuah kedai makan di Jalan Kebun Sultan, di sini.

Asmah Deraman dianggarkan berusia lewat 70-an berdasarkan perbualan berhubung salah-silah keluargannya dan ditambah dengan keadaan fizikal yang sudah jelas dimamah usia.

Dakwanya, dia berasal dari Salor, dan mempunyai dua kakak iaitu Melah yang sudah meninggal dunia, manakala Bedah tidak diketahui status kerana sudah bertahun lama mereka tidak bersua.

“Ibu dan bapa makcik juga sudah lama meninggal dunia. Semasa zaman kanak-kanak, makcik dijaga Melah dan selepas Melah berkahwin, makcik terpisah dengan kedua-dua kakak tersebut.

“Sejak itu, makcik datang ke Kota Bharu, cari kerja dan hidup merempat merata-rata sehinggalah pada usia sekarang, tumpang berteduh di bilik kecil ini dengan sewa RM100 sebulan dan dibenarkan menggunakan bilik air yang terletak bersebelahan dengan stor ini untuk mandi serta mengambil air sembahyang,” katanya.

Menurutnya, kerana tidak mempunyai surat beranak mahupun kad pengenalan, Asmah hidup dalam kesusahan dan sukar untuk mendapatkan pekerjaan yang baik. Dia juga pernah cuba untuk membuat kad pengenalan, tetapi usaha itu sia-sia apabila ada yang mengambil kesempatan menipu dirinya.

“Ke hospital kerajaan pun makcik tak pernah pergi. Penyakit yang ada hanya tahu demam dan kebas-kebas macam itu saja, selebihnya tidak tahu sebab tidak pernah ke hospital. Kalau demam pun akan beli ubat dekat kedai sahaja, itu pun jika ada duit lebih,” katanya.

Asmah bekerja sebagai tukang cuci dengan pendapatan RM250 sebulan. Pendapatan itu akan digunakan untuk membayar sewa bilik dan selebihnya untuk membeli makanan, sementara pakaian dan tudung mengharapkan insan dari mereka yang bermurah hati.

“Hajat makcik hanya hendak kad pengenalan sahaja, tulislah umur berapa pun makcik tak kisah, yang penting dapat kad pengenalan. Tiada kad pengenalan, bantuan untuk warga emas pun tidak layak. Sekarang masih larat nak bekerja, nanti apabila jatuh sakit macam mana,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment