Wednesday 8 April 2015

Cuba pertahan beg, warga emas maut selepas bergelut dengan penyamun

AZMI: Ang Hun Mung, seorang pesara, dipercayai telah dipukul sehingga maut selepas cuba menghalang suspek daripada melarikan beg miliknya. - Gambar Fail

PETALING JAYA: Seorang warga emas maut dipercayai dipukul ketika cuba menghalang seorang lelaki yang cuba menyamunnya di halaman rumahnya di Jalan 17/48, Petaling Jaya, kira-kira pukul 6.07 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Azmi Abu Kassim berkata Ang Hun Mung, 66, seorang pesara, dipercayai telah dipukul sehingga maut selepas cuba menghalang suspek daripada melarikan beg miliknya.

Menurutnya, mangsa dipercayai sedang menyiasat halaman rumah bersebelahan yang juga miliknya yang disyaki dipecah masuk oleh lelaki berkenaan berusia 20an.

Suspek cuba merampas beg mangsa ketika menyedari kedatangannya di rumah tersebut hingga berlaku pergelutan.

Dalam pergelutan itu, suspek dipercayai telah memukul mangsa, bagaimanapun telah gagal merampas beg berkenaan sebelum melarikan diri dengan sebuah motosikal.

Mangsa ditinggalkan bersendirian sehingga tidak sedarkan diri.

Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat, katanya. 

- Sumber: Bernama 

No comments:

Post a Comment