Thursday, 19 March 2015

Tidur semasa bertugas: Polis tidak tolak gambar diambil pihak dalaman

Polis tidak menolak kemungkinan gambar dua anggotanya yang tidur di Balai Polis Komuniti Mak Mandin, Butterworth, diambil pihak dalaman.

KUCHING: Polis tidak menolak kemungkinan gambar dua anggotanya yang tidur di Balai Polis Komuniti Mak Mandin, Butterworth, Pulau Pinang diambil pihak dalaman sebelum disebarkan dalam media sosial oleh orang awam.

Pada 10 Mac lalu gambar anggota polis lelaki dan wanita yang bertugas, tidur di kerusi di pejabat pertanyaan balai polis berkenaan tersebar di media sosial termasuk aplikasi WhatsApp dan mendapat kritikan pelbagai pihak.

Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan dan sebarang tindakan disiplin kepada dua anggota berkenaan akan diputuskan kemudian. 

"Saya belum dapat maklumat terperinci tetapi dimaklumkan ada di kalangan pihak dalaman (mengambil gambar) dan telah dedahkan kepada pihak yang tidak berkaitan dengan PDRM.

"Mungkin ada niat di sebalik penyebaran gambar tersebut, itu kita belum pasti dan masih dalam siasatan," katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian sumbangan kepada mangsa banjir di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sarawak pada Rabu.

Turut hadir Ketua Jabatan Pengurusan IPK Sarawak, SAC Mohd Jasmani Yusoff dan Komander Briged Pasukan Gerakan Am Sarawak, Datuk Isa Munir.

Pada majlis itu, sejumlah RM8,500 diagihkan kepada 17 anggota polis dan pegawai awam dari negeri ini yang terjejas banjir yang berlaku pada Januari lalu.

Terdahulu dalam ucapan, Mohamad Fuzi berkata sejumlah RM1.6 juta berjaya dikutip dan telah diagihkan kepada 1,385 anggota polis yang terjejas banjir pada Disember dan Januari lepas.

Menurutnya, kutipan tersebut merupakan hasil pemotongan gaji anggota secara 'one-off' serta sumbangan ikhlas badan bukan kerajaan, individu dan kontinjen daripada setiap negeri.

Sementara itu Mohamad Fuzi berkata selain diarah bertukar dalam tempoh 24 jam, dua anggota polis berkenaan mungkin akan dikenakan tindakan lain bergantung kepada hasil siasatan.

"Kita tidak mahu perkara ini menjejaskan imej polis, dan mereka (anggota polis tidur) mesti tegas dan perlu melaksanakan tugas dengan tekun dan berkesan dan bukan tidur ketika melaksanakan tugas.

"Tindakan serupa bukan saja telah diambil terhadap dua anggota yang tidur itu, banyak lagi kes yang hampir serupa kita ambil tindakan dalaman," katanya. 

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment