Thursday, 19 March 2015

Sarimah Ibrahim sertai Bella ntv7

SARIMAH Ibrahim hos baru Bella bersama penerbit eksekutif, Intan Noorbaizura.

KUALA LUMPUR: Selepas hampir 18 tahun aktif mengacarakan program hiburan di Malaysia, Sarimah Ibrahim bersedia menggalas cabaran baru sebagai pengacara rancangan bual bual bicara wanita, Bella yang disiarkan di ntv7 setiap Isnin hingga Jumaat jam 11.00 pagi.

Pelakon dan pengacara yang akan menamatkan zaman solonya bulan depan sememangnya menyimpan hasrat untuk mengendalikan rancangan bual bicara wanita dan program yang membincangkan mengenai kesihatan.

Menerusi program Bella ini, penonton pastinya dalam melihat sisi lain Sarimah yang sebelum ini banyak mengacarakan program berpaksikan hiburan.

"Saya amat teruja dapat menyertai pasukan Bella yang banyak memberi fokus dan tumpuan terhadap wanita. Saya percaya pengalaman dan pengetahuan saya sebagai individu dapat saya kongsikan bersama penonton Bella.

"Saya ditawarkan untuk menyertai pasukan Bella ini sejak 2012 namun tawaran ini terpaksa saya tolak kerana terikat dengan komitmen lain. Saya cukup gembira akhirnya dapat bersama-sama dengan produksi Bella.

"Saya berharap pembabitan ini sedikit sebanyak dapat membantu dan memberi inspirasi kepada wanita di luar sana. Saya dengan ntv7 pun bukan asing lagi kerana pernah memulakan karier sebagai pengacara di stesen ini pada April 1997 menerusi program The RIM Chart Show," kata Sarimah yang juga pernah aktif sebagai penyampai radio selama tiga tahun.

Sarimah juga sempat mengacarakan program Children's Weekend Entertainment Show KIDS@ntv7 pada tahun 1999 dan kemunculan semula Sarimah di kaca televisyen pastinya dinanti-nantikan penonton yang pastinya rindukan keletah dan kepetahan beliau. 

"Fokus saya dalam kehidupan sekarang cukup berbeza. Pelbagai cabaran yang saya lalui dan pengalaman ini semua banyak membantu saya menjadi wanita yang lebih matang. 

"Saya banyak belajar mengenai kehidupan, cinta dan karier dan bagaimana mengimbangi kehidupan sebagai wanita berkerjaya. Saya juga belajar bahawa untuk berjaya, kita sebagai wanita seharusnya menjaga keseimbangan fizikal, emosi, rohani dan mental untuk membolehkan kita melakukan sesuatu dengan sepenuh hati," ujar wanita yang memiliki ijazah dalam bidang psikologi.

Bella terus mengukuhkan profilnya selepas memenangi anugerah Rancangan Bual Bicara Terbaik di Anugerah Skrin yang berprestij untuk dua tahun berturut-turut pada tahun 2012 dan 2013.

Bella ternyata berjaya memaparkan topik yang mampu menyelami hati wanita. Selain Sarimah, rancangan ini turut menampilkan tiga pengacara lain yang tidak kurang hebatnya iaitu Elaine Daly, Lisa Wong dan Belinda Chee.

"Kombinasi pengacara-pengacara ini pastinya memberi kelainan kepada program ini. Keempat-empat hos ini merupakan wanita yang cukup berpengaruh dan dikenali khalayak. Gabungan ini semestinya memberi inspirasi sekaligus memikat penonton dengan kredibiliti dan pesona masing-masing," ujar Penerbit Eksekutif Bella, Intan Noorbaizura.

Bella program yang didedikasikan khas kepada kaum wanita dan berrsiaran secara langsung selama satu jam setiap Isnin hingga Jumaat jam 11.00 pagi di ntv7 (Saluran 107).

Pada hari Isnin, Bella Confidential mengetengahkan isu wanita dan juga soalan yang wanita ingin tahu; Bella Society pada hari Selasa menyentuh kisah inspirasi di dalam masyarakat; Bella Mars yang disiarkan pada hari Rabu menjemput kaum lelaki untuk berkongsi pengalaman mereka, tips dan idea-idea; Bella Unwind pada hari Khamis pula menggalakkan wanita merancang, menerokai tempat baharu dan juga aktiviti-aktiviti yang boleh dilakukan; manakala pada hari Jumaat, Bella Weekend memberikan idea dan cadangan aktiviti kepada para penonton untuk hujung minggu. 

- Sumber: BH Online 

No comments:

Post a Comment