Thursday 19 March 2015

Lelaki maut cubaan lari dari polis

KUANTAN - Seorang lelaki dipercayai penagih dadah maut manakala seorang lagi parah selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas semasa cuba melarikan diri daripada polis peronda lebuh raya pada pukul 1 tengah hair semalam.

Terdahulu polis peronda lebuh raya telah menahan kereta suspek yang dilihat mencurigakan namun suspek memecut kenderaan mereka menghala ke Plaza Tol Gambang dan memasuki laluan motosikal secara melawan arus sehingga ke persimpangan lampu isyarat di Jalan Kuantan-Segamat sebelum membelok masuk ke Jalan Ladang Felda Lepar Hilir 1, Gambang dekat sini.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Fatimah Ghazali berkata, sampai di tempat kejadian kereta terbabit telah hilang kawalan lalu terbabas merempuh sebatang pokok kelapa sawit sebelum terbalik menyebabkan suspek yang berusia 27 tahun itu mati di tempat kejadian akibat tercampak di dalam ladang kelapa sawit di situ sementara rakannya, 24, mengalami kecederaan parah.

"Hasil pemeriksaan, polis menemui dadah jenis heroin seberat 785.20 gram bernilai RM24,000, syabu seberat 503.54 gram bernilai RM80,000 dan pil kuda sebanyak 3,800 biji bernilai RM95,000 dengan jumlah keseluruhan RM199,000. 

"Turut dirampas enam buah telefon bimbit pelbagai jenama," katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini hari ini. 

Beliau berkata, siasatan awal juga mendapati suspek aktif menjalankan aktiviti penyalahgunaan serta pengedaran dadah di sekitar bandar ini sejak beberapa bulan lepas.

Katanya, suspek yang parah itu kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan dan polis akan mengambil keterangannya selepas dia sedarkan diri nanti.

Sementara itu katanya, seorang lagi lelaki berusia 42 tahun juga diberkas polis dekat Kampung Paya Bungor, Gambang di sini pada pukul 6 petang Selasa lepas.

Fatimah berkata, pemeriksaan ke atasnya mendapati dua buah beg yang digalasnya mengandungi selaras senapang angin dan sejumlah dadah dengan nilai keseluruhan sebanyak RM11,840.

"Dadah yang ditemui ialah 470.5 gram heroin bernilai RM9,000, syabu seberat 0.7 gram bernilai RM280, tiga biji pil kuda bernilai RM60 dan wang tunai RM2,500," katanya.

Katanya, hasil semakan mendapati suspek terbabit mempunyai sembilan rekod jenayah lampau membabitkan penyalahgunaan dadah dan jenayah selain dia turut dikehendaki polis. 

Katanya, siasatan juga mendapati suspek telah lama terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah dan dadah yang dirampas itu dipercayai untuk pasaran di daerah Kuantan. 

"Usaha masih diteruskan bagi mengesan ahli-ahli sindiket yang lain dan selain itu suspek juga didapati positif dadah. 

"Suspek kini ditahan reman sehingga Isnin depan di lokap IPD Kuantan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya. 

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment