Monday 16 February 2015

Tukang masak didakwa bunuh penuntut wanita UiTM Pulau Pinang

Seorang tukang masak didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh penuntut wanita Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pulau Pinang awal bulan ini.

TAIPING: Seorang tukang masak didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh penuntut wanita Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pulau Pinang awal bulan ini.

Tertuduh, Syarafi Abu, 25, didakwa membunuh Nur Syuhada Johari, 20, pada 11.55 pagi di Kilometer 228.2, Lebuhraya Utara Selatan, di sini, pada 2 Feb lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Eyu Ghim Siang, tertuduh menggelengkan kepala sebagai tanda tidak faham dengan pertuduhan yang dibacakan itu.

"Mahkamah tidak minta pengakuan kamu, cuma tanya sama ada kamu faham atau tidak dengan pertuduhan," kata Majistret.

Namun, Syarafi masih tidak faham dengan pertuduhan yang dibacakan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Amril Johari memohon mahkamah menetapkan tarikh lain untuk sebutan semula kes berikutan laporan kimia dan bedah siasat mangsa masih belum siap.

Eyu kemudiannya menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 21 April depan dan tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

Galeri mahkamah hari ini turut dipenuhi anggota keluarga tertuduh, wartawan dan juga orang ramai.

- Sumber: Bernama 

No comments:

Post a Comment