Monday 16 February 2015

'Saya berani bersumpah di Mekah, Anwar bersalah'

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah

SHAH ALAM - Ketua pasukan pendakwaan dalam kes Liwat II Ketua Pembangkang, Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah berkata, antara sebab beliau mengetuai pendakwaan kes itu kerana yakin Datuk Seri Anwar Ibrahim benar-benar bersalah.

Katanya, keterangan terhadap Anwar dalam kes itu terlalu kuat untuk membuktikan penasihat PKR itu bersalah kerana tiada seorang pun daripada 14 orang peguam Anwar berani mempertikaikan fakta kes tersebut.

"Saya berani bersumpah di masjid atau Mekah bahawa apabila saya buat rayuan kes ini, saya dengan jujur percaya Anwar salah," beliau dipetik sebagai berkata dalam sebuah akhbar tempatan hari ini..

Mengulas lanjut Shafee berkata, kaitan konspirasi politik dalam kes ini adalah propaganda politik penyokong Anwar.

"Kalau konspirasi politik, ini bukan baru bermula. Ia bermula daripada kes liwat pertama.

"Kalau begitu konspirasi, orang yang harus masuk dalam konspirasi ini ialah Karpal Singh juga sebab dia timbulkan perkara ini dalam tahun 1997, setahun sebelum Anwar kena buang kerja.

"Oleh itu, bagi saya semua itu cerita politik untuk propaganda, kalau kita hendak tahu orang ini dianiayakan atau tidak, kita tengok fakta kes, mereka tidak berani masuk fakta kes," ujarnya.

Shafee dilantik mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes rayuan terakhir Anwar pada Oktober tahun lalu. 

Pada 10 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan Anwar bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan dan hukuman penjara lima tahun ke atasnya, kekal.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment