Monday 16 February 2015

Polis Sabah minta bantuan Interpol kesan Doris


KOTA KINABALU - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meminta bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk mengesan Doris Jones atas dakwaan menghasut untuk membawa Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia menerusi laman media sosial Facebook.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, pihaknya akan menjejaki Doris yang difahamkan berada di luar negara.

"Kita akan berhubung dengan pihak Interpol sebagai usaha mencari dan menahan Doris yang dikehendaki pihak keselamatan negara berikutan aktiviti berbaur hasutan yang dilakukannya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran Op Selamat Keenam sempena perayaan Tahun Baru Cina, di sini, hari ini.

Menurutnya, waran tangkap terhadap Doris telah dikeluarkan pada Jan lepas oleh Mahkamah Majistret Tuaran dan menerusi waran itu Prosedur Operasi Standard (SOP) secara automatik terlaksana dengan semua pintu masuk akan mendapat maklumat mengenai waran itu.

Waran tangkap itu dikeluarkan bagi memerintahkan Doris untuk hadir di mahkamah hari ini untuk menjawab pertuduhan terhadap beliau di bawah Akta Hasutan 1948.

Sementara itu, Jalaluddin percaya gerakan Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) itu telah didalangi oleh parti pembangkang.

Doris melalui profil di Facebooknya mendakwa dia merupakan warga Sabah dan kini menetap di United Kingdom dan bekerja di bidang perundangan. 

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment