Sunday 8 February 2015

Sorakan penyokong punca menang dengan Thailand

  • Pasukan negara muncul juara selepas menewaskan pasukan dari Thailand di Kejohanan Sepak Takraw Final Istaf Super Series di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Melaka hari ini. - Foto Bernama
  • Pasukan negara muncul juara selepas menewaskan pasukan dari Thailand di Kejohanan Sepak Takraw Final Istaf Super Series di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Melaka hari ini


MELAKA - Sorakan padu lebih 3,000 penyokong dan bermain tanpa tekanan merupakan dua faktor penentu kejayaan Malaysia menumpaskan Thailand untuk menjuarai kategori lelaki Kejohanan Sepak Takraw Siri Super Istaf Malaysia 2015.

Ketua pasukan Farhan Adam berkata sorakan padu penyokong menanam semangat kental tidak mahu mengalah kepada pemain Malaysia dan status sebagai pasukan bukan pilihan nyata meringankan bebanan pasukan negara untuk menentang juara bertahan, Thailand.

"Kami bermain dengan cemerlang sepanjang kejohanan ini, namun saya rasa kami tidak dapat bermain sebaik ini tanpa sokongan penyokong yang tidak pernah jemu melaungkan kata-kata semangat kepada kami," kata Farhan kepada pemberita di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka di sini, hari ini.

Pada perlawanan akhir itu, Malaysia menumpaskan musuh tradisinya Thailand 2-0 (21-7 dan 21-19) dalam pertarungan hampir sejam bagi memberikan kejuaraan pertama dalam kejohanan itu yang bermula pada 2011.

Kecemerlangan Malaysia terbukti apabila ia memenangi kesemua lima perlawanan dalam kejohanan itu dengan straight set.

Jurulatih negara Abd Talib Ahmad berkata keberkesanan servis daripada tekong Mohd Syahir Mohd Rosdi serta libasan killer Khairol Zaman Hamir memberikan kelebihan untuk Malaysia menumpaskan Thailand hari ini.

"Semua pemain bermain amat baik hari ini juga sepanjang kejohanan, namun Thailand nampak agak takut dengan servis deras dilakukan Syahir dan mereka juga gagal menahan kemas libasan Khairol," katanya. 

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment