Sunday 8 February 2015

Penjelasan Najib isu boikot mengecewakan


KUALA LUMPUR - Penjelasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengajak pengguna memboikot peniaga Cina sangat mengecewakan.

Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, penjelasan yang diberikan Najib berhubung isu berkenaan seperti menyokong tindakan berkenaan daripada terus berlaku.

“Ismail Sabri bercakap tanpa menggunakan fakta dan saya kecewa kerana kenyataan Najib juga tidak begitu kukuh serta tidak meyakinkan rakyat.

“Sepatutnya pucuk pimpinan perlu mempunyai pendirian tegas mengenai perkara ini dan tidak membiarkan ia berlaku kerana bakal mempengaruhi pemikiran rakyat,” katanya pada sidang media selepas forum Malaysia, Kebebasan Ekonomi, dan Globalisasi anjuran Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) bersempena kelahiran Tunku Abdul Rahman ke-112 di Kuala Lumpur, semalam.

Sebelum ini, Najib cuba meredakan keadaan dengan menyatakan bahawa kenyataan Ismail Sabri itu adalah bertujuan menegur semua peniaga yang enggan menurunkan harga barang walaupun setelah harga bahan bakar diturunkan, bukan ditujukan kepada mana-mana kaum tertentu.

Katanya, Najib perlu mengeluarkan kenyataan yang mengatakan perkara seumpama ini tidak boleh keluar daripada Kabinetnya.

“Hal ini kerana Kabinet merupakan badan tertinggi yang memutuskan sebarang keputusan dan perkara ini mencerminkan pendapat pemimpin tertinggi negara,” katanya.
Menurutnya, dalam meningkatkan ekonomi negara, perkara utama yang perlu dilakukan adalah dengan menolak isu perkauman.

“Saya rasa kita perlu mara ke hadapan dengan dan meletakkan produk kita di peringkat antarabangsa dan ini lebih memberi nilai ekonomi.

“Elakkan daripada menimbulkan isu perkauman yang boleh dijadikan isu retorik,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment