Sunday 8 February 2015

Semua pihak perlu bertenang, kata Ismail Sabri

  • Ismail Sabri Yaakob

SHAH ALAM – Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyeru semua pihak supaya menghentikan polemik isu boikot peniaga.

Beliau menegaskan perdebatan mengenai isu tersebut tidak membawa kebaikan atau kata putus kepada mana-mana pihak.

Menurutnya, semua pihak seharusnya menumpukan fokus kepada usaha untuk menggiatkan lagi desakan penurunan harga barangan ke atas mana-mana peniaga degil yang masih mengekalkan harga tinggi.

“Apabila peniaga yang degil turunkan harga barangan mereka, yang dapat faedahnya adalah pengguna tidak kira kaum apa sekalipun sama ada Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun, Iban dan sebagainya.

“Tidak perlu kita gembar-gemburkan perkara yang lepas. Kalau kita masih lagi fokus kepada kenyataan saya atau apa pandangan orang terhadap saranan saya, kita tidak akan fokus kepada soal peniaga yang enggan turunkan harga barangan. Jadi lebih baik kita fokuskan kepada perkara yang menguntungkan kita,” katanya ketika ditemui Sinar Online di sini, hari ini.

Katanya, semua pihak perlu menghormati kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sama sekali berpihak kepada saranan beliau.

“Semalam pun saya sudah sebutkan, yang pertama sekali, sesiapa sahaja di negara ini terutamanya yang berpihak kepada kerajaan perlu akur dengan saranan yang dibuat oleh Perdana Menteri iaitu kita perlu bergerak ke hadapan.

“Fokus kita kali ini adalah lebih kepada apa yang perlu kita lakukan untuk menjaga kepentingan pengguna yang merupakan komuniti terbesar negara ini,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment