Tuesday 24 February 2015

Sirul buat panggilan telefon atas pilihan sendiri - Imigresen Australia

Imigresen Australia menyifatkan status Sirul sebagai seorang bukan warganegara yang melanggar undang-undang di pusat penahanan imigresen. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Bekas anggota komando yang menunggu hukuman mati dan kini dalam tahanan Jabatan Imigresen dan Perlindungan Sempadan Australia, Sirul Azhar Umar mempunyai kebebasan untuk menghubungi media atau membuat panggilan telefon mengikut kehendaknya sendiri pada bila-bila masa.

Perkara itu disahkan oleh seorang Pegawai Perhubungan Awam jabatan tersebut sewaktu menjawab pertanyaan Astro AWANI melalui kiriman e-mel rasmi.

“Secara amnya, jabatan ini tidak akan mengelolakan sesi temu bual dalam kawasan penahanan atas faktor operasi. Namun, individu yang ditahan bebas untuk menghubungi media mengikut kehendak mereka,” ujar pegawai yang hanya menamakan diri sebagai David tersebut.

Apabila ditanyakan mengenai status penahanan Sirul Azhar, David memberitahu bahawa jabatan tersebut menahan ‘

“Seorang bukan warganegara yang melanggar undang-undang di pusat penahanan imigresen 
- Jabatan Imigresen Australia’.
Dalam pada itu, pada 20 Februari lalu, jabatan tersebut telah menafikan pihaknya telah memberi izin kepada sebuah stesen televisyen Australia untuk menjalankan temu bual pendedahan dengan Sirul Azhar.

Bagaimanapun, sebarang pertanyaan mengenai ekstradisi, kata David, perlu dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara.

Difahamkan, Akta Migrasi Australia 1958 menyatakan bahawa orang yang bukan warganegara Australia dan tidak memiliki visa yang sah akan ditahan melainkan orang itu diberi kebenaran undang-undang untuk tinggal di Australia melalui pemberian visa.

Berkenaan warga bukan Australia yang melanggar undang-undang, mereka harus keluar dari Australia secepat mungkin dan dengan alasan munasabah.

Berdasarkan portal rasmi Jabatan Imigresen Australia, penahanan tidak mempunyai tempoh masa tertentu tetapi bergantung kepada beberapa fakta seperti pengenalpastian identiti dan maklumat perkembangan di negara asal tahanan.

Selain itu, kerumitan pemprosesan kerana permasalahan tertentu seperti kesihatan, karakter atau hal-hal keselamatan.

Sekiranya seseorang tahanan mencabar keputusan mengnai visa atau penghantaran pulang, itu juga boleh memanjangkan tempoh tahanannya.

Keputusan untuk menempatkan seseorang tahanan imigresen mengambil kira keadaan dan risiko berdasarkan individu, dengan mencari keseimbangan antara kebajikan dan faktor operasi serta keselamatan.

Antara yang akan dinilai termasuklah perwatakan atau isu identiti individu, situasi unik yang dihadapi, kerjasama dalam proses imigrasi dan kecenderungan individu tersebut dalam sebarang keadaan.

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment