Tuesday 24 February 2015

Keluarga Anwar hantar permohonan pengampunan Diraja

Keluarga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memohon pengampunan Diraja bagi kesabitan kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

KUALA LUMPUR: Keluarga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini telah menghantar permohonan pengampunan Diraja atas kesabitan kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Perkara ini disahkan kepada Astro AWANI oleh Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.

Fahmi berkata isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dan anaknya, Nurul Nuha Anwar, telah menghantar permohonan itu ke Istana Negara dan seorang lagi anaknya, Nurul Izzah Anwar, telah menghantar satu surat rasmi untuk memaklumkan permohonan pengampunan Diraja itu, ke Parlimen.

“Ini kerana speaker Dewan harus diberitahu mengenai permohonan pengampunan Diraja supaya beliau tidak mengumumkan kekosongan kerusi Parlimen Permatang Pauh.

“Namun demikian, PKR tidak tahu menahu mengenai perkara ini. Keputusan untuk memohon pengampunan Diraja dibuat oleh keluarga Anwar,” katanya kepada Astro AWANI.

Sementara itu, Bernama, yang mengungkap kata-kata Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata permohonan itu telah diserahkan kepada pihak istana di Istana Negara pada kira-kira pukul 3.30 petang ini, di bawah peraturan 113, Peraturan Penjara 2000.

Bernama turut melaporkan bahawa pihak Istana Negara telah mengesahkan menerima permohonan itu petang ini.

Sebelum ini, laporan media telah mengatakan bahawa Anwar tidak akan membuat permohonan Diraja.

Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli semalam telah berkata Anwar tidak mengeluarkan arahan kepada peguamnya untuk memohon pengampunan diraja kerana tetap dengan pendirian “tidak bersalah”. 

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment